Konsert Exists X Orkestra yang berlangsung di Mega Stars Arena telah melabuhkan tirai pada Jumaat. Konsert yang cukup meriah itu dihadiri oleh hampir 6,000 penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Beri sumbangan RM20,000 kepada karyawan
Persembahan hebat Exists yang terdiri daripada Mamat, Ezad Lazim, Ajai, Ujang, Musa dan Along diiringi oleh 30 pemuzik daripada Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kumpulan ‘otai’ ini mempersembahkan 24 lagu popular mereka dan saduran yang dinyanyikan semula dengan nafas baharu.
Antara lagunya, Untukmu Ibu, Julia, Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Rahsia Pohon Cemara dan banyak lagi.
Mereka juga mempersembahkan lagu saduran antaranya, Rindu Serindu Rindunya yang dipopularkan oleh kumpulan Spoon dan Tak Mungkin Berpaling (Slam).
Tak dinafikan, persembahan tersebut mendapat sambutan ramai malah penonton di Mega Star turut ‘sing along’ ketika lagu kegemaran mereka didendangkan oleh vokalis, Ezad dan Mamat.
Acara pada malam tersebut turut memperlihatkan kumpulan Exists menyerahkan replika cek sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Presidn Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez bertujuan untuk membantu golongan anak seni yang memerlukan.
Difahamkan, sumbangan tersebut dikumpul menerusi hasil kutipan RM10 daripada setiap pembelian tiket konsert.