Ibu kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meninggal dunia selepas didakwa dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis, Allahyarham Muhammad Zaharif iaitu Mimi Julia Ismail memuat naik satu hantaran yang meruntun hati wargamaya di media sosial.
Artikel Berkaitan: Polis Siasat Pelajar 17 Tahun Maut Dilanggar Lari
Reda dengan perpisahan yang berlaku
Menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok, Mimi memaklumkan bahawa dirinya dan suami baru mempunyai kekuatan untuk memulakan perniagaan mereka semula selepas genap 13 hari pemergian anak bongsu mereka itu.
Menurutnya, mereka cuba untuk menyibukkan diri dan cuba melupakan kejadian yang berlaku namun ingatan mereka tidak pudar mengingati kesakitan yang dialami Arwah Zaharif.
Bismillahirahmanirahim,
Muhammad Zaharif Affendi, hari ini genap 13 hari adik tinggalkan ibu, hari ini juga Allah bagi kekuatan dekat ibu dan abah untuk kembali menjemput rezeki di kedai kita Restoran Mimiz.
Ibu dan abah cuba sibukkan diri tapi ibu tak kuat. Sayu hati ibu bila terpandang tempat kejadian, terbayang bayang kesakitan yang adik alami. Kalau boleh ibu nak gantikan kesakitan adik mat tapi apakan daya Allah lebih menyayangimu nak.
Sungguh bertapa rapuhnya hidup kita, kematian tak mengira masa, situasi, muda ataupun tua. Tiada siapa yang dapat menduga saat kudrat dan kesihatan yang baik tiba-tiba ajal datang menjemput.
Namun begitu, Mimi menjelaskan bahawa dia tetap reda dengan pemergian anaknya itu dan mendoakan agar roh anaknya itu dirahmati dan dicucuri Allah SWT.
Mimi juga berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan untuknya dan keluarga menghadapi ujian dan dugaan ini.
Ibu reda dengan pemergianmu, hidup ibu dan abah juga hanya tinggal saki baki yang ibu sendiri tidak tahu bila ia akan berakhir. Sememangnya kadang kadang hati ibu rasa kecewa, sakit hati, sedih dan marah pada si pelaku tapi ibu kuatkan hati untuk memaafkan saja. Ibu tidak mahu berdendam kerana itu lebih menyakitkan.
Ibu berjanji untuk menjadi orang yang memberi manfaat pada orang lain, ibu berjanji untuk bahagia dan membahagiakan orang lain kerana ibu tidak tahu bila saat ibu akan pergi menghadap si dia. Tunggu ibu disana ya sayang.
Ibu resha dengan perpisahan kita, moga kita bertemu di syurga Allah, Amin Ya Rabb. Ibu doakan semoga kematian adik mat merupakan kematian yang husnol khotimah. Bersih dari dosa, pulang dari menuntut ilmu dan berniat pula nak bersolat jumaat.
Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan buat ibu dan abah. Semoga Allah angkat doa doa seluruh rakyat Malaysia buat adik mat dan keluarga kita.
Sekadar info, Allahyarham Muhammad Zaharif disahkan maut selepas didakwa dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis di hadapan sekolahnya pada 15 Disember lalu.
Kejadian itu meraih perhatian ramai selepas tular beberapa video mengenai kejadian di media sosial.
Jenazah Muhammad Zaharif kemudiannya dituntut keluarga selepas proses bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan pada bahagian dada dan abdomennya akibat pelanggaran yang berlaku.
Sumber: TikTok