Cadangan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor supaya rumah pelacuran khusus buat pekerja asing dibuka dikecam hebat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Nampak Anak Bini Kita Silap Silap Dirogol’ – Rosyam Nor Berpendapat Rumah Pelacuran Penting Untuk Pendatang Asing Lepaskan Nafsu
Langgar ajaran agama
Memetik laporan Berita Harian, Mohd Na’im memaklumkan bahawa cadangan tersebut sama sekali tidak boleh diterima dan sewajarnya ditolak kerana ia bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.
Bukan itu sahaja, ia juga jelas bertentangan dengan prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah. Tambahnya, kaedah fekah sewajarnya dijadikan panduan bagi setiap jalan penyelesaian mengenai kes rogol khususnya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan polemik atau isu yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tambah Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakimah Syariah Malaysia itu lagi, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran.
Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559.
Terdahulu, Rosyam Nor menerima kecaman hebat selepas mecadangkan agar rumah pelacuran di negara ini dibuka buat pekerja asing menerusi satu podcast yang dikendalikannya.
Menurut pelakon filem ‘KL Gangster 2’ itu, cadangannya itu adalah bertujuan untuk memastikan kehormatan wanita tempatan terjaga dan terhindar daripada menjadi mangsa rogol.
Walau bagaimanapun, Rosyam tampil membuat permohonan maaf dan mengakui keterlanjuran yang dilakukannya itu.
Sumber: Berita Harian