Pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Alya Iman mendedahkan dia bersikap terbuka sekiranya ada pihak yang memilih untuk membencinya waima meninggalkan komen berbaur kecaman terhadap karier seninya.
Artikel Berkaitan: Netizen Kecam Shukri Yahaya & Alya Iman, Adegan Mandi Didakwa Ada Unsur ‘Soft P*rn’ – ‘Jijik! Sampai Bila Drama Malaysia Kena Macam Ni?’
Lalui pelbagai onak duri kehidupan
Ketika ditemui OhBulan!, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil berkata, pengalamannya berdepan dengan bermacam-macam kisah duka dalam kehidupan membuatkan dirinya menjadi lebih kental untuk berdepan dengan cabaran dunia hiburan termasuklah kecaman daripada segelintir pihak.
Orang memang sudah benci saya pun. Jadi saya tak kisah apa yang orang nak cakap perkara buruk pasal saya. Siapa yang kenal saya, dia tahu siapa saya.
Walaupun usia saya baru 23 tahun, saya sudah melalui banyak pengalaman menyedihkan yang membentuk saya untuk menjadi seorang yang tabah serta kalis kecaman.
Kehilangan ibu dan ayah, membesar dalam keluarga yang berantakan dan bekerja pada usia muda demi untuk menjaga arwah ayah membuatkan hati dan jiwa saya kental berdepan apa juga cabaran dalam hidup.
Justeru bila ada kecaman daripada netizen, ia langsung tidak memberi kesan kepada saya. Saya tahu saya boleh hadapi semua itu dan sudah bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal mendatang.
Alya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media drama ‘Layang-Layang Perkahwinan’ yang diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam pada itu, pelakon yang sedang menginjak ke usia 23 tahun ini mengakui ada kalanya dia turut menitiskan air mata tatkala berdepan dengan sesetengah pihak yang gemar menghukum dirinya tanpa sebarang usul-periksa.
Namun begitu, anak kepada pelakon hebat era 80-an iaitu Allahyarham Azmil Mustapha menyatakan dia tidak menyalahkan takdir atas apa yang menimpa dirinya.
Pernah juga saya duduk menangis tapi tak adalah sampai tahap meratap nasib diri dan bertanya mengapa saya perlu melalui ujian sebegitu.
Saya anggap dugaan yang saya lalui itu sebagai lumrah yang perlu dihadapi setiap insan.
Terdahulu, Alya menerima kecaman hebat daripada sesetengah netizen selepas tularnya babak didakwa berunsur separuh lucah yang dilakonkannya bersama Shukri Yahaya.
Ketika ditanya mengenai kontroversi tersebut, Alya mengakui dia berasa bimbang apabila mendapat tahu perlu membawakan watak tersebut.
Masa mula-mula dapat skrip, saya tanya pada kak Eyra betulkah saya kena bawa watak ini? Ini kerana saya sedar watak itu boleh membuatkan saya dikecam.
Namun sudah namanya pelakon, saya buat juga. Sebagai pelakon, saya hanya jalankan tanggungajawab mengikut skrip dan arahan.
Saya tahu kejadian sebenar yang berlaku di belakang kamera. Ia tidaklah seperti yang diperkatakan (berunsur lucah). Kami jaga semuanya.