Seperti yang kita tahu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah pun dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menggantikan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi tempoh 5 tahun bermula semalam (31 Januari 20204).
Artikel Berkaitan: Sultan Johor Dipilih Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17
Berjiwa rakyat
Sememangnya, Seri Paduka Baginda sangat dikenali kerana keperibadiannya yang begitu merendah diri dan sangat prihatin dengan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.
Seri Paduka Baginda menjadi antara individu paling terawal untuk turun padang melihat keadaan dan situasi yang dialami rakyat Johor yang terjejas dengan banjir beberapa tahun lalu.
Seri Paduka Baginda juga merupakan seorang yang berjiwa rakyat apabila sering mencemar duli datang ke gerai dan kedai makan di daerah-daerah yang terletak di Johor sambil menyantuni rakyat tercinta.
Jaguh memasak
Bukan itu sahaja, Seri Paduka Baginda juga mempunyai kelebihan yang sama seperti adindanya yang juga merupakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu hebat dan jaguh dalam bidang masakan.
Difahamkan, Seri Paduka Baginda gemar memasak dan akan makan bersama kakitangan istana setiap kali mempunyai masa terluang.
Antara masakan yang pernah dimasak ialah masak gulai nanas, briyani udang galah, nasi goreng ‘special’ dan banyak lagi.
Selain memasak, Seri Paduka Baginda juga mempunyai kemahiran lain terutama sekali dalam aktiviti permotoran.
Sekadar info, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.
Pada 22 September 1982, Seri Paduka Baginda mendirikan rumah tangga bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan telah dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.