Penyanyi Farhan Azizan menafikan dakwaan kononnya dia sudah berhenti menyanyi dan tidak mahu muncul di kaca televisyen lagi.
Artikel Berkaitan: Rezeki Tak Putus! Azharina Syukur Terima Banyak Undangan Show Daripada VVIP, Siap ‘Request’ Lagu Irama Klasik
Tak memilih job
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Farhan berkata, dia tidak pernah berhenti menyanyi bahkan menyepi daripada bidang seni. Ini kerana, menyanyi merupakan minat, jiwa dan punca pendapatannya.
Sebenarnya saya masih lagi dengan karier nyanyian, cuma banyak show saya di tempat yang kurang mendapat liputan media serta akses kepada orang awam. Jadi ia amat terhad. Mereka tidak nampak saya di kaca televisyen mahupun di mana-mana media.
Selain menyanyi, saya juga mengembangkan skop seni saya kepada mengacara, pengurusan majlis dan menjalankan perniagaan saya sendiri. Jadi dakwaan mengenai saya sudah menyepi itu tidak benar.
Disoal sama ada memilih tawaran ataupun tidak sepanjang bergelar anak seni, bekas peserta program Akademi Fantasia Musim Keempat ini secara ringkas menjawab tidak.
Saya tidak memilih job. Mungkin genre lagu dan status saya sebagai penyanyi jazz yang membawa saya ke arah itu. Saya tidak menafikan bahawa kebanyakan job saya datangnya daripada private show.
Selain dikenali sebagai penyanyi jazz, Farhan juga salah seorang penyanyi yang boleh menyanyikan lagu klasik dengan baik. Menurut Farhan, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan lagu-lagu bergenre seperti itu.
Sejak kecil saya didedahkan dengan lagu jazz dan klasik. Keluarga saya memang minat genre sebegitu. Muzik jazz dan klasik sudah sebati dalam diri saya. Jadi saya akan kekalkan genre ini. Bagi pendapat saya, genre ini juga akan membawa saya ke kelas yang tersendiri.
Selesa genre jazz & klasik
Diusik sama ada mahu mencuba sesuatu yang baru ataupun tidak selepas ini, Farhan berkata, dia selesa dengan genre jazz dan klasik buat masa sekarang.
Untuk ketika ini dan beberapa faktor, saya mungkin akan teruskan dengan genre yang sesuai dengan saya sekarang ini. Bukan kerana tidak mahu mencuba, tapi kesesuaian genre lain dengan saya agak kurang menjadi. Saya akan teruskan dengan apa yang saya buat sekarang ini.
Menjadikan Chakakhan, Dionne Warwick, Zara Agus, Ella Fitzgerald, Dinah Washington, Salamiah Hassan dan Liza Aziz sebagai idola dalam bidang nyanyian, Farhan turut memberitahu kepada OhBulan! bahawa dia mempunyai perancangan untuk mengeluarkan lagu baru setakat ini, cuma biar masa menentukannya.
Farhan yang baru sahaja selesai menjayakan Big Band Project bersama Datuk Suhaimi Sulaiman dan beberapa artis yang lain turut berkongsi mengenai perancangannya sepanjang tahun ini. Ujar Farhan, dia bakal mengadakan satu showcase pada hujung tahun ini buat para peminat.