Berani mencipta kelainan! 48 Entertaiment mencuba nasib mempertaruhkan konsep ‘idol group’ buat pertama kali di Malaysia dengan memperkenalkan kumpulan KLP48.
Berpengkalan di Kuala Lumpur, KLP48 merupakan salah satu legasi kepada kumpulan idola Jepun iaitu AKB48 yang bermula sejak 2005.
Terdiri daripada 13 orang ahli
Menurut Pengarah 48 Entertaiment Sdn Bhd, Yip Chun Wei, pihaknya akan mengetengahkan konsep ‘idola yang boleh anda temui’ seperti yang diguna pakai oleh AKB48 sebelum ini. Tambah Chuan Huei, anggota KLP48 diberi kebebasan untuk berinteraksi secara rapat dengan peminat-peminat mereka.
Konsep idol memang agak asing di Malaysia, tapi konsep yang kami ketengahkan masih sama dengan AKB48 di Jepun. Peminat berpeluang berinteraksi secara dekat dengan semua anggota kumpulan seperti kawan namun tetap menjaga batas.
Saya percaya dengan cara itu mereka mampu tarik perhatian masyarakat di Malaysia, katanya kepada OhBulan!.
Berbicara lebih lanjut ketika sesi temu bual bersama media, Chun Wei berkata, ahli kumpulan KLP48 terdiri daripada pelbagai etnik dan ia membuatkan mereka lain daripada yang lain.
KLP48 dianggotai oleh 13 ahli dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Indonesia dan Hong Kong. Dalam kumpulan ini, ada juga beberapa anggota yang diambil daripada kumpulan lain.
Bagi saya, pengambilan ahli daripada kumpulan yang lain dapat menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan yang terbaik. Mereka boleh berkongsi pengalaman dan mengharumkan nama KLP48 ke peringkat seterusnya.
Pada masa yang sama, Chun Wei memberitahu, mereka semua boleh berkomunikasi lebih dari dua bahasa dan ia membuatkan mereka lebih menonjol daripada kumpulan legasi lain.
Apa yang uniknya tentang KLP48 ini, ahli kami terdiri dari pelbagai etnik membuatkan kami lain dari lain. Semua anggota mempunyai kebolehan berbahasa asing, malah kebanyakan mereka boleh bercakap lebih dari dua bahasa.
Kepelbagaian yang kami tonjolkan inilah yang buat kami istimewa di mata peminat memandangkan kami boleh nyanyi dalam pelbagai bahasa.
Disoal mengenai siapakah kapten yang bakal mengetuai kumpulan ini, Chun Wei secara ringkas menjawab, pemilihan kapten masih belum dilakukan.
Ahli KLP48 dari Malaysia
OhBulan! sempat bertanya kepada Chun Wei mengenai aktiviti yang sudah dilakukan oleh kumpulan KLP48 sepanjang mereka bersama. Ujar Chun Wei mereka pernah diberi tugasan seperti mencanting batik dan menebar roti canai di kedai mamak.
Bagi memupuk semangat berpasukan dan menerapkan nilai kebudayaan di Malaysia, kami pernah membahagikan mereka kepada beberapa buah pasukan untuk membuat aktiviti menarik yang terdapat di sini. Kami juga bawa mereka ke pasar malam dan mencuba pelbagai jenis makanan.
Di akhir temu bual, Chun Wei berkongsi mengenai pemilihan warna hijau bagi kumpulan tersebut.
Seperti semua legasi Kumpulan AKB48, masing-masing dikenal pasti dengan jalur warna tersendiri. KLP48 telah diberikan warna hijau, yang berasal daripada jed Malaysia, merangkumi imej aura lembut, empati dan gabungan nilai yang berbeza.
Saya berharap peminat di Malaysia akan sentiasa memberikan sokongan kepada KLP48 sama seperti legasi AKB48 yang lain. Dengan beberapa perancangan menarik yang diatur, kesemua ahli KLP48 akan bekerja keras untuk mempamerkan yang terbaik, jadi nantikan apa yang akan dipersembahkan nanti.
Sekadar info, anggota KLP48 terdiri daripada Yurina (Japan), Salwa (Malaysia), Hillary (Hong Kong), Yi Shyan (Malaysia), Lucine (Malaysia), Cocoa (Japan), Amanda (Malaysia), Ann Drea (Malaysia), Suzuha (Japan), Devi (Indonesia), Khalies (Malaysia), Haruka (Japan) dan Tiffany (Malaysia).
Selain KLP48, terdapat kumpulan legasi lain yang diperkenalkan di rantau Asia Tenggara termasuk JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila) dan CGM48 (Chiang Mai).
Sempena acara debut, KLP48 dijadualkan bakal menyertai konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ‘Fisrt Cry’ di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Ogos depan.