Anggota tentera Kem Terendak, Sungai Udang yang dilaporkan hilang ditemui selamat oleh keluarganya di sebuah restoran di Semabok, pada Ahad malam.
Prebet Fakrullah ditemui selamat
Memetik laporan Malaysia Gazette, mangsa iaitu Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, ditemui dalam keadaan tidak terurus oleh abang sulungnya.
Meskipun sedih dengan apa yang terjadi tetapi bapa mangsa, Nazri Abd Rahim, 48, meluahkan rasa syukur kerana akhirnya anak keduanya itu telah pulang ke pangkuan keluarga.
Alhamdulillah ketika ditemui, Fakrullah yang dalam keadaan tidak terurus terkejut sebelum menangis sambil mendakwa dia cuba untuk pulang ke rumah namun terasa ‘berat’.
Kami sekeluarga tidak pasti apakah puncanya namun bersyukur dan terus memaklumkan kepada pegawainya di Kem Terendak sebelum mereka datang mengambilnya untuk tindakan lanjut.
Menurut Nazri lagi, Fakrullah berada dalam keadaan sihat dan hanya makan di kedai selain telah menginap di beberapa premis termasuk hotel bajet di Melaka sepanjang 41 hari ‘menghilang’.
Sampai sekarang, kami sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar dia berkelakuan demikian kerana tidak mempunyai masalah dalam hubungan keluarga, teman wanita, kewangan atau pun dibuli.
Cuma malam tadi dia maklumkan hatinya terasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah yang mungkin ada kaitan dengan kejadian mistik menimpanya ketika bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu menyebabkan sikapnya pelik sejak itu.
Sebelum ini, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Fakrullah yang hilang selepas keluar dari rumahnya bagi melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.
Bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 20 Julai lalu, sejurus mendapati mangsa gagal dikesan keberadaannya sejak 24 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu difahamkan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem tersebut selepas tamat tempoh bercuti.
Sumber: Malaysia Gazette