Sudah memasuki trimester kedua, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk sepanjang tempoh tersebut.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nabila Razali Buat Penonton Cemas, Hampir Terjatuh Selepas Naik Tangga Pentas – ‘Takut Tengok, Hati-Hati’
Artikel Berkaitan: Nabila Razali Hamil Anak Pertama, Dijangka Bersalin Januari Depan – ‘Alhamdulillah, Saya & Suami Bersyukur Atas Rezeki Ini’
Tiada alahan teruk
Bagaimanapun, Nabila atau nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali, 32, berkata, dia ada mengidam untuk makan sesuatu, namun makanan tersebut tidak pelik dan mudah didapati.
Saya syukur tiada alahan yang teruk. Tak ada muntah-muntah. Cuma, saya ada lah sesekali mengidam nak makan sesuatu.
Tapi tidak lah mengidam yang pelik-pelik. Cuma teringin nak makan burger Ramly dan kek. Tapi semuanya itu mudah untuk didapati.
Saya pun teringin juga nak mengidam perkara pelik macam bau tayar ke. Saya pun menanti perkara-perkara itu tetapi belum rasa lagi.
Nabila berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Ikut petua orang lama
Dalam pada itu, disoal mengapa mengambil masa untuk mengumumkan berita kehamilan, Nabila menjawab dia mengikut petua dan nasihat orang lama untuk merahsiakannya terlebih dahulu.
Saya banyak mendengar petua orang tua, seelok-eloknya kita simpan berita kehamilan dulu sampai satu tempoh masa, sebelum umumkan kepada semua.
Sebenarnya saya masih belum nak beritahu, tapi dah ramai sangat tanya dan juga media bertanya, akhirnya saya kongsikan juga. Dalam masa sama, dapat hentikan spekulasi.
Saya rasa lebih baik begitu dan disebabkan itu saya umumkan kehamilan itu pada awal Oktober lalu. Itu pun sudah memasuki pengakhiran trimester kedua.
Pada 4 Oktober lalu, pelantun lagu Permata Hati itu mengumumkan sudah berbadan dua menerusi perkongsian di Instagram dan dijangka bakal melahirkan pada Januari depan.
Imbas kembali, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Nik Iruwan Nik Izani berkahwin pada 18 November tahun lalu dalam sebuah majlis secara tertutup di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang.