Mengetengahkan perhubungan kasih sayang di antara ayah dan anak perempuan, filem Babah yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 5 Disember hadapan pasti mengusik emosi penonton.
Filem Babah
Filem Babah yang dihasilkan oleh syarikat produksi Nads Media Entertainment ini diinspirasikan selepas Nadia Nadzri selaku idea asal dan penerbit melihat sebuah klip video viral tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya.
Emosi seorang ayah yang menjaga anak perempuannya dari kecil dan kemudian melepaskan tanggungjawab kepada lelaki lain adalah amat dalam.
Bagi menambah emosi dan memberi kesedaran kepada masyarakat selepas menonton filem Babah, penerbit mengambil pendekatan dengan sebuah lagi klip video tentang seorang perempuan yang bertarung nyawa menghidap Sindrom Gullain-Barre.
Filem menyentuh emosi penonton
Filem ini mengisahkan pengorbanan seorang ayah (babah), Isyak untuk anak perempuannya, Maya. Isyak merupakan cinta pertama buat Maya dan sentiasa menjadi hero yang sentiasa melindungi dan menjaga anak perempuannya itu tatkala dilanda ujian.
Menurut Wan Rafiq iaitu selaku penulis skrip, filem berkenaan juga cukup istimewa kerana ia sangat dekat dengan penonton yang akan menimbulkan rasa penuh emosi.
Filem babah ingin mengetengahkan rasa rindu. Rindu adalah perasaan lebih besar dan mendalam yang dialami oleh semua orang. Ianya adalah emosi yang bercampur di antara gembira, sedih dan sayu yang datang hanya dari momen sendiri.
Untuk seorang ayah, diharap dapat mengimbau semula perjalanan mereka dalam membesarkan anak perempuan sehingga masa untuk melepaskan mereka ke tangan suami.
Untuk seorang anak perempuan, adalah untuk mengingatkan tentang pengorbanan seorang ayah yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan mereka.
Sementara pengarah Babah, Mohd Shah Faizul Ibrahim pula berkata, apa yang membuatkan filem berkenaan menarik adalah kelainan dari segi penyampaiannya.
Saya merasakan yang jalan ceritanya sangat dekat dengan diri saya. Lepas membaca skrip, saya terus beri kata putus kepada penerbit yang saya ingin mengarahkan Babah.
Penulis skrip juga adalah penerbit kepada filem ini dan saya merasakan penulisannya sangat peribadi dan itu membuatkan saya yakin ia adalah sebuah naskhah yang baik,
Menurutnya lagi, filem Babah bukan sahaja memberikan hiburan tetapi turut menyentuh emosi dan perasaan penonton dengan mesej yang disampaikan.
Filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 5 Disember 2024 ini menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Qi Razali, Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.