Konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur yang berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur telah melabuhkan tirai dengan penuh gemilang pada malam Ahad.
Raisa Teristimewa di KL pengalaman luar biasa
Konsert yang dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka tanah air iaitu Kharisma Music membawakan penyanyi dan penulis lirik Raisa bagi menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.
Suasana pada konsert bertambah meriah dengan visual yang dipaparkan menerusi skrin LED serta pencahayaan yang sangat menakjubkan sehingga membenamkan emosi penonton tatkala mendengar lagu-lagu ‘galau’ yang dibawakan oleh Raisa.
Sesungguhnya kalian adalah ‘teristimewa’ dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya. Konsert ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya, kerana saya sendiri terlibat secara langsung dalam setiap aspek persiapannya.
Duet dengan Ernie & Hael
Konsert yang berlangsung selama 2 jam lebih itu turut menampilkan Raisa atau nama lengkapnya Raisa Andriana mendendangkan 20 buah lagu termasuk duet bersama penyanyi Malaysia, Ernie Zakri dan Hael Husaini.
Pelantun lagu Mantan Terindah ini meluahkan rasa teruja dan terharu kerana berpeluang berkongsi pentas dengan dua penyanyi luar biasa dari Malaysia.
Terima kasih buat Ernie Zakri dan Hael Husaini kerana sudi bersama-sama saya dalam
konsert istimewa ini, sesungguhnya saya mengagumi personaliti kedua-dua penyanyi ini.
Menurut Ahmad Jeffny selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, pihaknya sangat berbesar hati membawa kembali penyanyi berbakat menerusi konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur.
Dengan kejayaan konsert ini, Kharisma Music terus komited untuk menyajikan pengalaman muzik yang luar biasa kepada penonton di Malaysia.
Secara keseluruhannya, konsert Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur mencipta pengalaman dan momen yang tak akan dilupakan oleh para penonton yang hadir.
Bukan itu sahaja, peminat juga sudah tidak sabar menanti Raisa untuk kembali membuat konsert di Malaysia.