Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon meluahkan rasa syukur kerana masih menerima undangan untuk melakukan persembahan di beberapa karnival dan majlis tertutup sejak kebelakangan ini.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tiada Rumah, Harta, Anak, Ibu Bapa’ – Zaiton Sameon Syukur JKM Dengar Luahan Hati
Artikel Berkaitan: Zaiton Sameon Enggan Aibkan Keluarga
Tak letak harga mahal
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Zaiton berkata, sejak beberapa bulan ini dia rajin berulang alik ke Sarawak bagi memenuhi jemputan untuk menyanyi.
Alhamdulillah, sekarang banyak dapat tawaran menyanyi di beberapa karnival dan majlis makan malam di Sarawak. Sebulan dapatlah dua kali ke sana. Selepas itu, saya ada juga menerima undangan show biasa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Tambah Zaiton yang kini berusia 68 tahun, dia tidak mempunyai masalah untuk menghafal lirik lagunya sendiri.
Setakat hari ini, saya masih boleh ingat lagu-lagu saya seperti Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Menadah Impian dan lain-lain.
Disoal mengenai bayaran, Zaiton mengakui dia tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi kepada kliennya.
Berbicara lebih lanjut, Zaiton turut memberitahu kepada OhBulan! bahawa dia sedang aktif berniaga produk sambal dan rendang keluarannya sendiri.
Selain menyanyi, saya juga aktif menjual sambal ikan bilis petai dan rendang nasib Zaiton Sameon di platform media sosial. Alhamdulillah, ada rezeki juga apabila berniaga macam ni.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Zaiton memaklumkan dia bakal memeriahkan Karnival Rakyat Prihatin di Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur pada 21 Disember nanti. Ujar Zaiton, karnival tersebut akan menampilkan Didie Alias sebagai pengacara majlis.
Karnival Rakyat Prihatin
Menurut Pengerusi Karnival Rakyat Prihatin Merangkap Pengerusi Mapim Gombak iaitu Julianah Ishak (JUJU), pihaknya mahu meringankan beban rakyat yang terpaksa berbelanja mahal membeli barangan basah dan keperluan harian.
Barang basah seperti lima jenis ikan akan kami jual pada harga RM5-10 ringgit sahaja.Manakala ayam pula serendah RM10-RM11.
Bawang pula sudah tersedia dalam paket serendah RM2 ringgit. Kami faham masalah masyarakat dan itu sebabnya kami adakan program back to school dan bantuan asnaf pula berupa bakul makanan untuk 50 keluarga miskin.
Saya memang suka membantu rakyat dan saya harap Karnival Rakyat Prihatin anjuran kami ini dapat membantu penduduk-penduduk di persekitaran Wangsa Maju, Gombak dan kawasan berdekatan. Karnival ini terbuka untuk semua orang dan semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival ini.
Kalau dilihat kepada aktiviti yang kami adakan, kami ada sukaneka yang melibatkan keluarga. Selain berbelanja, inilah masa untuk keluarga bersantai bersama anak-anak. Mereka yang membuat saringan kanser serviks juga bakal menerima hadiah misteri. Kami bawakan saringan ini kerana kami tahu kanser serviks merupakan antara lima kanser yang cukup ditakuti.
Foto: Juju
Ujar Juju lagi, dia berharap karnival ini dapat menjadi penyuntik semangat untuk orang lain buat perkara yang sama seperti mereka lakukan.
Aktiviti kami merangkumi semua lapisan umur. Harap NGO dan pemimpin yang lain turut serta bersama kami. Saya juga menyeru sekali lagi, datanglah beramai-ramai ke karnival ini keraa semuanya ada disini.