Pelantun suara ‘Mahligai Syahdu’ iaitu Dato Hattan memberitahu berat badannya semakin bertambah selepas berhenti merokok sejak beberapa bulan yang lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hattan Berhenti Merokok Selepas Kehilangan Arwah Adik – ‘Dia Kuat Merokok, Ada Masalah Jantung’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hattan Dengar Pesanan Arwah Adik, Batal Niat Bersara Dari Dunia Hiburan – ‘Boleh Saya Bantu Biaya Pendidikan Anak Dia’
Berat badan naik
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Hattan berkata, berat badannya bertambah sebanyak empat kilogram dan ukuran pinggangnya sudah mencecah 36 inci. Meskipun pada awalnya susah untuk meninggalkan tabiat merokok, Hattan mengakui bahawa segala usahanya itu membuahkan hasil apabila pernafasannya kini semakin baik.
Saya berhenti merokok sejak kematian adik pada April lalu. Alhamdulillah, sejak itu saya tidak menyentuh rokok lagi. Dua minggu pertama memang sukar, tangan menggigil dan emosi bercampur-baur, tetapi sekarang keadaan sudah stabil.
Walaupun badan naik mendadak dan pinggang sudah mencecah 36 inci, saya gembira kerana pernafasan menjadi lebih baik. Malah, saya boleh menyanyikan lagu dengan nada tinggi tanpa sebarang masalah.
Ditanya pula mengenai godaan selepas berhenti merokok, Hattan secara ringkas menjawab ada dugaan seperti gurauan daripada rakan-rakan yang cuba memujuknya kembali kepada tabiat lama.
Memang ada kawan yang cuba menggula-gulakan saya sampai sanggup menawarkan RM1,000 jika saya merokok semula. Namun, syukur saya sudah nekad. Isteri saya juga banyak bantu. Dia selalu berleter dan ingatkan saya agar jangan sentuh rokok lagi. Itu yang buat saya lebih kuat.
Di akhir temu bual, Hattan meluahkan rasa teruja kerana bakal mengadakan konsert Hitam Manis bersama Hazama dan Black di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Februari tahun depan.