Penyanyi Misha Omar menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila Misha Omar Back To Basic Showcase yang berlangsung di Jiospace, pada Sabtu mendapat sambutan luar biasa oleh para peminat.
Artikel Berkaitan: Misha Omar Bangga Dengan Kemenangan Ernie Zakri Di Indonesia – ‘Semoga Jadi Penggerak Rakyat Seberang Dengar Lagu Artis Malaysia’
Artikel Berkaitan: Misha Omar Tunai Impian Peminat, Bakal Adakan ‘Back To Basic Showcase’
Misha Omar terharu
Misha Omar Back To Basic Showcase menampilkan anak penyanyi Misha Omar iaitu Muhammad Idris Ezzwa sebagai pengacara. Tak dinafikan, gelagat dan keletah spontan kanak-kanak berusia lapan tahun ini berjaya mencuri tumpuan hampir 2,000 penonton yang hadir.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah@Aisah Omar, 42, membuka gelanggang showcase dengan mendendangkan lagu hitsnya berjudul Cinta Adam & Hawa.
Showcase yang berlangsung hampir dua jam itu turut menyaksikan Misha menyanyikan 14 lagu termasuk himpunan lagu popularnya seperti Cinta Adam & Hawa, Pulangkan, Bunga-Bunga Cinta, Sembunyi, Sampai Bila, Ku Seru dan banyak lagi!
Bukan hanya mempersembahkan lagunya sendiri, tetapi penyanyi yang telah mencipta nama selama 22 tahun dalam industri muzik ini turut menghadiahkan peminat dengan lagu-lagu popular dari penyanyi berbakat, Ernie Zakri iaitu Masing-Masing, Peluang Kedua daripada Nabila Razali dan Semalam oleh Aina Abdul.
Pelantun lagu Bunga Bunga Cinta ini turut mengejutkan ramai apabila tampil lincah menari di atas pentas ketika menyanyikan lagu Oops! I Did It Again serta Bye Bye Bye nyanyian asal Britney Spears dan NSYNC secara ‘mashup’ dan Watch Me Glow oleh kumpulan Dolla.
Pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu turut menyajikan penonton yang hadir dengan persembahan duet bersama pemenang pencarian teman duet di Instagram, Hariz Fayahe. Mereka mempersembahkan lagu Die With A Smile yang dipopularkan oleh Bruno Mars dan Lady Gaga.
Hariz meluahkan rasa syukur kerana berpeluang berduet dengan idolanya di atas satu pentas selain mengakui itu akan menjadi satu momen yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
Pada malam Misha Omar Back To Basic Showcase, penyanyi itu mengalirkan air mata saat melihat sokongan daripada para peminat dan penonton yang hadir.
Dia juga sempat memberitahu bahawa dia kini dalam perancangan menghadiahkan sesuatu buat peminatnya dan dalam masa yang sama pelantun lagu Sembunyi ini akan seakan memberi hint bakal tampil dengan konsert solonya pada tahun hadapan.