Enggan lagi bermasam muka, penyanyi dan usahawan Datuk Ifa Raziah serta pengacara asal Singapura, Roslan Shah sepakat memilih jalan berdamai selepas hampir tujuh tahun bersengketa.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Susun Sepuluh Jari & Mohon Maaf’ – Ifa Raziah Tak Ada Niat Guris Hati Orang Iban
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Nak Jadi Bodyguard Miss Diva? Pastikan Anda Tahan Maki’ – Ifa Raziah Mengaku Tegas Soal Kerja
Ibarat keluarga
Bersyukur hubungan kembali jernih, Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 49, berkata, dia ingin membuka lembaran baru sekali gus menutup kisah lama dan menyimpan rapi dalam kamus hidup.
Perselisihan faham saya dan Roslan bermula di Malaysia pada awal Januari 2018, hampir tujuh tahun isu ini berlarutan. Saya bersyukur kepada Allah kerana telah meleraikan ego Roslan dan saya, hasilnya silaturahim kembali utuh.
Semoga dengan penjelasan ini membuatkan peminat kami di Malaysia dan Singapura mampu tersenyum kembali melihat gelagat kami yang sentiasa tidak putus-putus usik-mengusik bagi menghiburkan peminat kami walaupun di mana mereka berada.
Banyak kisah susah senang kami lalui bersama untuk kecapi kejayaan pada hari ini. Saya dan Roslan pun sudah lama bersahabat sehinggakan saya sudah anggap dia seperti ahli keluarga sendiri.
Ifa berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindah: Ifa Raziah dan Roslan Shah yang berlangsung di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Tutur pelantun lagu ‘Ser Ser Ser’ itu lagi, dia berharap isu persengketaannya dan Roslan dapat dijadikan iktibar serta teladan buat mereka di luar sana yang mengalami perkara sama.
Saya harap kisah perselisihan faham kami ini dapat dijadikan contoh atau inspirasi. Jika ada masalah dengan sahabat, cubalah cari jalan untuk berdamai. Sesungguhnya itu perkara lebih baik dan positif berbanding menyimpan perasaan dendam yang akan merugikan diri sendiri.
Adakan doa selamat
Sementara itu, Roslan berkata, dia ada memasang niat untuk mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat untuk mengingati ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.
Kongsi Roslan, dia juga ada mempelawa Ifa untuk bersama-sama mengerjakan ibadah Umrah.
Saya sudah berbincang dengan Ifa, untuk tahun baru ini rancang nak buat kenduri (tahlil dan doa selamat) untuk ahli keluarga kami yang telah meninggal dunia.
Insya-Allah kalau boleh, saya nak buat majlis tersebut di Singapura dan Kuala Lumpur serta turut disertai anak-anak yatim. Sambil mendoakan buat yang telah tiada, kita bersedekah dan bagi saya itu lagi afdal.
Sudah niat, azam saya. Sudah rancang dalam hati. Daripada ‘tabur duit’ pada benda lain, rasanya lebih baik untuk buat kenduri kesyukuran bersama anak-anak yatim.
Star Vendors Mega Raya
Dalam pada itu, pada sidang media sama, Ifa turut mengumumkan festival anjurannya iaitu Star Vendors KL Mega Raya Fest 2025 yang bakal mencatatkan sejarah baharu.
Festival yang bertemakan Nostalgia Raya itu akan berlangsung di KLBEC KL BASE Exhibiton Centre, Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Mac 2025.
Mereka yang berminat boleh dapatkan harga promo Early Bird bagi booth indoor bermula RM3,999 (Intermediate), Corner RM4,499 (Corner) dan RM 9,999 (VIP).
Manakala harga promo Early Bird booth outdoor pula berharga RM2,699 (Corner), dan RM2,399 (Intermediate).
Harga Early Bird ini hanya ditawarkan sehingga 31 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor 018-3722977.