Pelakon Bollywood terkenal, Saif Ali Khan telah diserang oleh seorang penceroboh di kediamannya di Bandra, Mumbai, pada awal pagi Khamis.
Cedera parah
Memetik laporan India Times, aktor berusia 54 tahun itu kini berada dalam keadaan parah akibat mengalami enam luka tikaman dan salah satu hampir mengenai tulang belakang.
Susulan daripada serangan tersebut, suami kepada pelakon, Kareena Kapoor itu kemudian dikejarkan ke Hospital Lilavati sekitar jam 3:30 pagi untuk rawatan lanjut.
Dr. Niraj Uttamani iaitu Ketua Pegawai Operasi Hospital Lilavati, menyatakan bahawa Saif Ali Khan sedang menjalani pembedahan yang diketuai oleh pakar bedah saraf Dr. Nitin Dange dan pakar bedah kosmetik Dr. Leena Jain.
Salah satu kecederaan lebih dekat dengan tulang belakangnya. Kami akan dapat memberitahu tahap kerosakan hanya selepas pembedahan.
Seorang doktor di Hospital Leelavati, yang enggan dikenali memaklumkan bahawa serpihan pisau telah ditemui tertanam di dalam tubuh mangsa dan pasukan perubatan kini sedang menilai sejauh mana tahap kerosakan yang dialami.
Difahamkan, siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan dan pihak berkuasa sedang memburu suspek yang telah melarikan diri selepas insiden itu.
Sumber: Hindustan Times