Kumpulan KRU meneruskan legasi muzik mereka sebagai penyanyi, komposer dan penerbit tersohor tanah air dengan pelancaran single kedua dari album Kaset berjudul ‘One More Time’.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tidak Hirau Dipersoal Tentang Isu Relevan, KRU Anggap Itu Komen Biasa – ‘Saya Tak Kisah Apa Orang Nak Cakap’
Artikel Berkaitan: Konsert GenKRU Tambah Hari Lagi! – ‘Kami Buat Untuk Peminat’
‘One More Time’
Lagu ini disampaikan dengan penuh emosi oleh trio adik-beradik ini membuktikan kematangan Norman, Yusry dan Edry bagi penyampaian vokal dalam sesebuah lagu.
‘One More Time’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry dan Edry yang mengekalkan DNA muzik R&B KRU era 90-an yang masih menyengat sehingga kini.
Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
Menurut Norman, dia berharap peminat KRU dapat menerima buah tangan terbaharu mereka.
Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu ‘One More Time’.
Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekaligus mengekalkan momentum pemasaran album Kaset apabila dikeluarkan tidak lama lagi.
KRU juga meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik ‘One More Time’.
Menariknya, melalui video muzik ini peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini dan masa depan.
Guna teknologi dalam MV
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, Kenny Ong, lagu tersebut bakal diterima baik oleh pendengar dan menjadi siulan.
KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.
Kami percaya video muzik ‘One More Time’ akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang.
Sebelum ini, KRU telah melancarkan single pertama dari album Kaset berjudul ‘Voodoo’ dan berjaya mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
‘One More Time’ boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music mulai 17 Januari 2025.