Ahli kumpulan pelawak legenda, Senario memilih untuk mengunci mulut berikutan ketiadaan Yassin Yahya di majlis pengumuman Duta Jakel 2025, pada Sabtu.
Artikel Berkaitan: Pelawak Dipenjara Enam Bulan Di Jeddah
Apek kunci mulut
Ketika ditemui OhBulan!, Saiful Apek berpendirian untuk mengunci mulut sewaktu diaju soalan.
Kami rasa perkara itu perlu diserahkan kepada pihak yang mutlak dan lebih sahih. Jadi saya mengambil sikap untuk berdiam diri.
Semua boleh buat spekulasi dan andaian, tapi kita sendiri tidak ada kepastian mengenai perkara itu, jadi tak berani hendak cakap apa-apa.
Saiful berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Duta Jakel 2025 di Jakel Mall.
Selain Senario, selebriti lain yang diumum sebagai duta adalah Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad seisi keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna Nasir seisi keluarga, Sallywho seisi keluarga termasuk Upin & Ipin.
‘Doakan Yassin’
Kata Saiful, 55, dia sudah lama mengenali Yassin sebagai sahabat.
Terus terang cakap, saya sudah kenal dia lama. Dia mungkin tak pandai mana, tapi dia tak bodoh mana. Jadi, kita doakan yang baik-baik.
Dalam pada itu, pemilik nama Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff mengingatkan orang ramai untuk menjaga lisan.
Kalau nampak sesuatu yang tak elok berlaku, kita kena rasakan diri kita belum cukup baik. Kalau rasa diri baik, kita kena fikir ada orang lebih baik.
Itu cara untuk muhasabah diri. Kepada orang di luar sana bertanggungjawablah dengan kata-kata.
Sebelum ini media melaporkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.
Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu bermula November tahun lalu.
Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.