Ibarat mimpi jadi realiti, penyanyi Tomok dan Siti Nordiana tidak menyangka dapat membuat persembahan eksklusif di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream dan menghiburkan lebih 600 peminat menerusi Live Music @ Sea.
Artikel Berkaitan: Tomok & Siti Nordiana Teruja Buat Persembahan Di ‘Pentas Lautan’! Bakal Hiburkan Peminat Atas Kapal Cruise
Artikel Berkaitan: Tomok Nasihat Penyanyi Jangan Tertipu Dengan ‘Janji Manis’, Selidik Latar Belakang Penganjur Konsert
Pentas lautan
Sepanjang hampir dua jam persembahan yang berlangsung di Zodiac Theater, jelas terpancar kegembiraan di wajah Siti Nordiana dan Tomok dapat menghiburkan peminat mereka sekali gus mencipta rekod peribadi dalam kerjaya seni masing-masing apabila pertama kali menyanyi di atas pentas lautan.
Persembahan yang disifatkan sebagai ‘pemanas badan’ sebelum menjelang konsert Tomok & Siti Nordiana, Memori Mungkin Berulang pada 1 Februari depan, dua penyanyi hebat itu telah menyampaikan sebanyak 15 buah lagu secara keseluruhan.
Antara untaian lagu yang disampaikan Siti Nordiana adalah Benang Emas, Cinta Hanya Sandaran, Angkara, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai. Malah, penyanyi berusia 41 tahun itu turut mendendangkan lagu Inggeris nyanyian asal Britney Spears berjudul Baby One More Time.
Manakala, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuklah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan Hanya Tinggal Sejarah. Tidak ketinggalan, vokalis kumpulan Newboyz itu sempat menggamatkan pentas dengan medley lagu C.I.N.TA dan Bahalol (XPDC).
Atas cruise
Bersyukur dengan sambutan diberikan peminat, Tomok berkata, dia tidak akan melupakan pengalaman manis dapat membuat persembahan secara langsung di atas kapal persiaran mewah tersebut.
Sejujurnya, saya tak jangka persembahan ini jadi besar tapi tengok menghampiri full house juga. Tenaga daripada audiens buat saya terkejut. Alhamdulillah, kita dapat respons yang baik daripada mereka yang hadir.
Pengalaman pertama buat persembahan atas kapal persiaran yang besar di depan ramai orang yang hadir membuatkan saya betul-betul gembira.
Sementara itu, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, berpeluang mengadakan persembahan di atas kapal mewah Genting Dream bagaikan impian yang akhirnya menjadi satu kenyataan.
Saya pernah naik kapal ini tetapi sebagai penonton di Zodiac Theater tapi kali ini berbeza sebab dapat buat persembahan. Macam impian jadi kenyataan sebab dapat ‘perform’ di tengah lautan.
Macam sesuatu yang ‘rare’ (tak pernah dibuat) sebelum ini. Saya sendiri tak sangka sambutan daripada peminat sangat menggalakkan.
Pada mulanya agak risau juga sebab yang datang daripada pelbagai bangsa. Tapi alhamdulillah, mereka ‘faham’ lagu-lagu leman saya dan Tomok.
Selain lagu hits solo masing-masing, Tomok dan Nana juga buat pertama kali menyampaikan lagu nostalgia yang menjadi kegilaan peminat iaitu Memori Berkasih (duet asal Nana bersama Allahyarham Achik Spin) selain mendendangkan lagu terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang.
Fasiliti lengkap
Dalam pada itu, Tomok memuji fasiliti dan kelengkapan yang ada di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream selain bersyukur menjadi salah seorang penyanyi bertuah yang diundang membuat persembahan.
Saya gembira menjadi salah seorang artis yang dapat membuat persembahan di atas kapal cruise Genting Dream. Tempat ini tempat yang sangat gah, satu kegembiraan untuk diri sendiri. Pentas juga sangat menarik. Mana lagi nak dapat buat persembahan seperti ini di tengah lautan dengan fasiliti yang hebat dan lengkap.
Senada dengan Tomok, Nana juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas peluang yang diberikan.
Terima kasih kepada pasukan Genting Resort Cruise sebab beri layanan yang sangat baik kepada saya. Seronoknya kapal persiaran ini kerana semua dalam satu tempat. Kalau di KL nak pergi tempat show kena naik kereta, di sini tidak, hanya jalan kaki.
Selain menyaksikan persembahan istimewa berkenaan, peminat juga menikmati pengalaman percutian yang menggabungkan pelayaran dua malam bermula di Singapura menuju Melaka dan kemudian kembali ke Singapura pada 19 hingga 21 Januari lalu di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream.