Pasangan selebriti, Ben Ali dan Nadiyah Shahab mengakui sering bergaduh demi memastikan acara tahunan Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya ‘sempurna’ di mata vendor dan pengunjung yang hadir.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nadiyah Shahab Jawab Dakwaan Rumah Tangga Bersama Ben Ali Sedang Bergolak – ‘Kami Akan Sentiasa Jadi Sahabat Baik Selamanya’
Artikel Berkaitan: Ben Ali Ajak Fathia Latiff Sertai Absolut Bazaar Bukan Sebab Gimik & ‘Marketing’ – ‘Saya Sokong Semua Artis Berniaga’
Normal bergaduh
Menurut Ben, dia dan Nadiyah menyatakan perbalahan yang berlaku hanya semata untuk kebaikan festival raya paling berprestij yang sudah memasuki tahun keempat.
Pergaduhan itu normal. Dalam bisnes, kami selalu bergaduh untuk kebaikan. Argument dalam bisnes itu merupakan sesuatu yang sihat.
Kami berbalah untuk kebaikan acara, bukan kerana hal peribadi. Di penghujungnya, kita ada matlamat yang sama iaitu mahukan sesuatu yang terbaik untuk acara yang kita anjurkan.
Ujar Nadiyah, 32, dia bersyukur Ben yang menjadi rakan bisnes kerana lebih memudahkan untuk menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan hati.
Semua ada baik dan buruk. Jika rakan bisnes bukan suami, pastinya saya tak berani nak guriskan hati, kata-kata yang keluar pun untuk menjaga perasaan.
Namun situasi kami sebagai suami isteri, memang semuannya akan dibincangkan. Apa sahaja, semua kerisauan, kebimbangan, rasa kurang keyakinan, kita boleh bincangkan dengan suami kepada akhirnya ia adalah untuk kebaikan bisnes.
Ben dan Nadiyah di Majlis Sidang Media Pelancaran Absolut Bazaar dan Festival Gaya Raya 2025 di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rahsia kejayaan
Dalam pada itu, ditanya mengenai rahsia kejayaan, Ben berkata dia melakukan setiap perkara dengan terperinci termasuk daripada segi lokasi acara, jenama yang terlibat serta senarai selebriti A list.
Sebelum kami melakukan sesuatu acara, kami kaji dulu apa objektif yang kami mahukan. Kami tak akan membuta tuli ketika melakukan sesuatu perkara.
Kami buat kajian mengenai tempat, jenama yang bakal terlibat, artis yang turut serta dan sebagainya.
Tambah Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, mereka tidak akan meneruskan festival sekiranya pihak pengurusan acara tidak berasa yakin.
Katanya lagi, mereka rela untuk membatalkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti hilang kepercayaan daripada vendor-vendor.
Sejujurnya, jika kami sendiri tidak yakin, tidak ada feel.. kami tidak akan teruskan. Seperti contoh, kami merancang untuk mengadakan acara Absolut Food Festival baru-baru ini.
Tetapi kami tidak dapat feel itu. Apabila timbul perasaan itu, kami batalkan acara dan mengembalikan semula wang kepada vendor. Kami lebih rela tak jalankan acara terbabit berbanding kami buat tetapi akhirnya jadi suam-suam sahaja.
Kami dibayar oleh vendor, mereka bagi amanah dan kepercayaan jadi kami tak mahu sia-siakan.
Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya bakal kembali berlangsung selama 66 jam tanpa henti di MITEC Kuala Lumpur dari 21 Mac (12 tengahari) hingga 6 pagi 24 Mac 2025.
Acara yang telah menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records sebagai Expo Festival Raya Terbesar di Malaysia itu merupakan anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management.
Untuk tahun ini, 700 tapak reruai telah habis dijual dan pihak penganjur menyasarkan RM25 juta hasil keuntungan daripada pempamer di samping menarik seramai dua juta pengunjung.
Selain menyediakan pengalaman membeli belah bagi persediaan Aidilfitri yang lengkap daripada pakaian, produk kecantikan dan juadah Aidilfitri, antara tarikan utama lain bagi acara Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya ialah Mini Absolut FoodFest.