Didakwa terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penerbit dan pengarah, Afdlin Shauki menyangkal tuduhan tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Tidak Patut Pukul Rata Cakap Semua Pelawak Ambil Dadah’ – Afdlin Shauki
Artikel Berkaitan: ‘Baik Punya Ah Long’ Ditayangkan Di Festival Eropah, Afdlin Shauki Terubat Kecewa – ‘Saya Down Sambutan Di Tanah Air Tak Memberangsangkan’
Fitnah
Menerusi hantaran di Instagram, Afdlin, 54, berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah dan cubaan untuk menjatuhkan nama baiknya.
Baru-baru ini, tular sebuah hantaran yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.
Untuk perhatian, ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya.
Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.
Laporan polis
Dalam pada itu, Afdlin berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk membuat siasatan.
Saya telah buat satu laporan polis bersama pihak PDRM untuk membolehkan siasatan dijalankan. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL.
Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.
Terdahulu, ada pihak mendakwa Afdlin yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL antara individu terlibat dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif DBKL berjumlah RM10 juta.
Sumber: Instagram