Sebelum ini, tularnya berita mengenai beberapa selebriti termasuk ikon tempatan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.
Terbaharu, OhBulan! tampil mendapatkan pendapat pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah berhubung perkara ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jalaluddin Hassan Sedia Bagi Kerjasama Kepada SPRM, Nafi Terima Bayaran RM400,000
Artis bukan tak bijak
Menurut Sharifah atau lebih mesra disapa Shiera, selebriti negara bukanlah tidak bijak tetapi ada kalanya faktor pembabitan selebriti lain telah membuatkan mereka yakin untuk menerima sesuatu tawaran.
Dalam masa yang sama, Shiera sempat berseloroh mengatakan tidak pernah menjadi mangsa ‘scammer’ kerana beranggapan dirinya hanyalah artis gred D.
Alhamdulillah setakat ini saya belum pernah lagi dijerat sindiket penipuan yang mempergunakan artis.
Artis bukan tidak bijak, memang ada kontrak perlu ditandatangi tapi perincian dalam kontrak ada masanya mengelirukan.
Mereka akan terus bersetuju dan tidak fikir panjang apabila melihat adanya pembabitan selebriti lain berstatus ‘datuk’ kerana merasakan syarikat itu legit.
Shiera berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan keempat Kays Steak & Lobster bertempat di Elmina pada Isnin.
Duit boleh buat orang ‘gelap mata’
Sementara itu, pemilik nama Sharifah Sahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired tidak menafikan bahawa tawaran lumayan boleh menyebabkan seseorang menjadi gelap mata.
Justeru, Shiera memaklumkan dia akan menyelidik terlebih dahulu sekiranya mendapat tawaran dengan jumlah yang tidak masuk akal.
Tawaran yang saya terima kebanyakannya produk makanan keluarga, setakat ini belum pernah lagi saya dilamar syarikat perunding kewangan.
Siapa tidak mahu tawaran lumayan? Saya akui boleh ‘sesat’ kalau dapat tawaran hampir setengah juta.
Tapi kalau betul, timbul juga rasa was-was. Bukan apa risau juga dari mana mereka dapat wang sebanyak itu kerana selalunya syarikat besar lagi berkira.
Terdahulu, beberapa nama selebriti terkenal tanah air dipetik sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan seorang individu awam.
Kesemua mereka dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.