Kalau korang perasan baru-baru ni sosial media kita dipenuhi dengan berita mengenai isu pengiklanan jenama kosmetik dari China yang melanggar Kod Amalan Pengiklanan Malaysia.
Iklan tersebut menunjukkan aksi model mereka makan produk kosmetik yang dijual.
Tindakan ini melanggar undang-undang pemasaran Malaysia dan sama sekali bercanggah dengan Garis Panduan Tuntutan Kosmetik dan Garis Panduan Iklan Kosmetik.
Notis 14 hari telah dikeluarkan
Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan 14 hari notis bermula 31 Januari yang lalu untuk jenama popular itu memberi penjelasan terhadap video promosi yang didakwa mengelirukan.
Tindakan ini diambil selepas beberapa iklan media sosial menunjukkan produk kosmetik yang sepatutnya digunakan pada wajah dijadikan makanan.
Iklan mengelirukan begini dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan melalui Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkata produk iniberkemungkinan akan ditarik balik sekiranya tiada maklum balas dalam masa 14 hari”, katanya kepada News Straits Times.
Beliau menegaskan bahawa iklan yang mempromosikan produk pengelupusan kulit berwarna merah berdarah dan berasid itu bukan sahaja mengelirukan, malah berisiko tinggi terhadap kesihatan pengguna.
Iklan terima kecaman netizen
Salah satu iklan yang mencetuskan kontroversi adalah video berdurasi 26 saat yang menunjukkan seorang pengacara meminum produk tersebut.
Kalau korang perasan ada suara latar yang tanya kepada pengacara iklan tersebut kenapa dia makan produk tersebut, tapi jawapan yang diberikan adalah “so what”?
Maka, tak hairanlah video tersebut mencetuskan kemarahan netizen.
Pemeriksaan lanjut oleh NPRA mendapati produk kosmetik ini telah diiklankan di halaman Facebook dengan dakwaan yang melampaui had kosmetik biasa, malah menyarankan penggunaannya secara oral.
Ini bertentangan dengan garis panduan pemasaran kosmetik yang telah ditetapkan.
Selain itu, iklan yang sama telah muncul di TikTok pada 27 Januari lalu, namun kali ini iklan jenama tersebut menampilkan seorang lelaki makan krim pelindung matahari terus dari bekasnya.
Menteri Kesihatan menegaskan bahawa iklan tersebut melanggar undang-undang dan akan ada tindakan susulan terhadap pengiklan dan penjual produk tersebut. “Kami akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pemegang notifikasi produk dalam masa terdekat,” kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Video papar aksi memudaratkan pengguna
Disamping itu, iklan yang cuba meniru bentuk berita, dengan tajuk sensasi “Bolehkah kita cantikkan kulit dengan ‘minum darah’?” turut mencetuskan kebimbangan.
Beberapa pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati, dengan menyatakan bahawa iklan sebegini boleh memberikan kesan buruk kepada kanak-kanak yang menontonnya. Bahkan ada netizen yang nak boikot jenama tersebut.
Pemeriksaan lanjut di TikTok mendapati pengacara bagi iklan jenama tersebut turut memakai kot putih seperti pengamal perubatan profesional dalam iklan mereka. Tindakan ini juga melanggar peraturan iklan kosmetik di negara kita yang melarang sebarang penglibatan pengamal perubatan profesional dalam iklan kosmetik.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa kementeriannya sentiasa memantau iklan kosmetik di semua platform. Tahun lalu sahaja, NPRA telah memeriksa lebih 1,200 iklan kosmetik, dan BPF (Bahagian Penguatkuasaan Farmasi) memeriksa hampir 2,000 iklan.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan, sama ada dalam media cetak, elektronik atau secara online. Begitu juga, jika ada produk makanan yang melanggar peraturan, mereka akan dirujuk kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan,” tambahnya lagi.
Sumber: News Straits Times