Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa mengakui teruja untuk menganjurkan konsert ‘Here I Am’ yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Artikel Berkaitan: Tiket Konsert ‘Here I Am’ Rossa Habis Terjual Dalam Masa 3 Jam!
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Berhabis RM400k Untuk 5 Busana Mewah Di Konsert A Night With Aina Abdul 3.0, Paling Mega Gaun Biru Berasap!
Konsert termega
Rossa atau nama lengkap Rossa Roslaina Handiyani berkata, ‘Here I Am’ merupakan konsert terbesar bakal dijayakannya di Malaysia dengan sasaran hampir 12,000 penonton.
Konsert ini boleh dikatakan berskala besar dengan sasaran 11,700o penonton. Saya tidak sabar dan sangat teruja.
Konsert ini akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan sangat berbeza daripada konsert-konsert saya sebelum ini.
Hal ini kerana, konsert ‘Here I Am’ melibatkan banyak kolaborasi, kejutan dan konsep. Saya yakin dan pasti akan buatkan semua penonton teruja.
Rossa berkongsi mengenai perkara itu ketika sidang media pengumuman konsert ‘Here I Am’ yang diadakan secara virtual, pada Rabu.
Legasi seni dicapai
Tambah Rossa, nama ‘Here I Am’ dipilih sebagai refleksi dari perjalanan kerjaya seni serta legasi yang telah dicapainya sepanjang hampir empat dekad.
Kenapa saya menamakan ‘Here I Am’? Ini kerana bagi saya, nama itu menggambarkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini.
Itu juga menjadikan siapa diri saya pada hari ini, berapa banyak album termasuk lagu hits dihasilkan, penghargaan serta anugerah yang diterima, termasuk konsert-konsert solo saya.
Meneruskan bicara, pelantun lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ itu berkata, dia akan terbangkan seorang penyanyi popular dari Indonesia dan beberapa penyanyi tanah air untuk membuat persembahan di konsert tersebut.
Saya akan undang seorang penyanyi popular dari Indonesia dan juga beberapa penyanyi yang sangat terkenal di Malaysia. Pastinya penonton akan menjerit melihat kemunculan mereka semua.
‘Berhibur sambil berama’
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin selaku penganjur berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat berkolabrasi dengan penyanyi berusia 46 tahun itu.
Penganjuran konsert ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan saya dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah kami mulakan dan sama-sama berkolaborasi sejak tahun 2012.
Saya bersyukur kerana Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata.
Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin.
PRIHATIN mengalukan pihak korporat dan orang perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep “Berhibur Sambil Beramal”.
Harga tiket konsert ‘Here I Am’ bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center, tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.
Tiket boleh dibeli di platform www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh berhubung terus dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau mel [email protected].
Bagi pemegang kad kredit dan debit Mastercard dan Visa Maybank, boleh dapatkan diskaun istimewa sebanyak 10% semasa hari pra-jualan tiket daripada jam 10 pagi, 14 Februari sehingga 10 pagi, 15 Februari 2025.
Selanjutnya, untuk pembelian selepas hari pra-jualan tiket, diskaun 8% diberikan kepada pemegang kad kredit Maybank dan 5% untuk pemegang kad debit Maybank.
Sebagai maklumat tambahan, konsert ‘Here I Am’ ini akan diadakan di tiga buah negara iaitu di Indonesia, Malaysia dan Singapura.