Pelakon, Zara Zya mengakui pernah berada di titik terendah dalam hidup selepas berdepan dengan ujian empat penyakit kronik serentak pada tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Hampir Dua Minggu Di Hospital, Zara Zya Kena Jalani Pembedahan Hari Ini
Reda dengan ujian
Walau bagaimanapun, pemilik nama Zainurul Razia Mohd. Zainuddin ini tetap reda dengan ujian dan perancangan Allah SWT buatnya.
Dalam masa yang sama, Zara meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani rawatan serta fisioterapi secara berterusan.
Saya masih keluar masuk wad sejak tahun lepas, bermula sekitar bulan Jun.
Saya jalani pembedahan membuang ketumbuhan pada buah pinggang kiri dan ovari. Saya juga ada masalah tulang belakang, leher serta artritis.
Semua masalah ini membuatkan saya tak boleh berdiri atau duduk terlalu lama. Alhamdulillah, selepas rawatan dan fisioterapi yang kini saya perlu teruskan setiap bulan, keadaan saya bertambah baik.
Cuma untuk penggambaran yang memerlukan tenaga berlebihan atau babak lasak, saya akan berbincang dahulu dengan produser atau penulis skrip. Kalau mereka setuju, barulah saya teruskan.
Zara berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 yang diadakan di The Ground, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sekadar ujian penghapus dosa
Dalam masa yang sama, pelakon yang terkenal menerusi drama ‘Risik Pada Hati’ ini menyifatkan kesakitan yang dihadapinya itu merupakan ujian untuk menghapus segala dosa-dosanya yang lalu.
Nak tak nak, perlu hadap. Tapi, Allah beri saya kekuatan dan semangat. Saya bersyukur sebab ujian ini mungkin cara Allah menghapuskan dosa-dosa saya.
Saya anggap diri saya insan terpilih untuk lalui ujian ini. Walaupun sukar, hikmahnya saya jadi lebih dekat dengan Tuhan.
Bercakap mengenai kesihatannya, Zara berharap agar dia dapat kembali sihat dan aktif dalam industri seni tanah air.
Insya-Allah, siapa yang tak nak sihat? Saya harap dapat kembali aktif dalam industri seni kerana ramai yang masih perlukan saya.
Peminat sentiasa menantikan drama terbaru saya. Itu yang membuatkan saya terus kuat.
Terdahulu, Zara selamat menjalani pembedahan membuang ‘cyst’ dan fibroid pada Mei tahun lalu.
Selain ‘cyst’ dan fibroid, Zara turut dirawat selepas berdepan dengan masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Pelakon itu kemudiannya sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Julai tahun yang sama akibat jangkitan kuman di bahagian kesan pembedahan.