Pelakon, Zamarul Hisham berkongsi keadaan terkininya selepas dimasukkan ke Hospital Port Dickson akibat sesak nafas pada 5 Februari lalu.
Artikel Berkaitan: Zamarul Hisham Dikejarkan Ke ICU, Sesak Nafas Ketika ‘Shooting’ – ‘Doakan Tiada Apa-Apa Yang Serius’
Teguran dari Allah
Menerusi temu bual bersama Melodi TV3, Zamarul memaklumkan keadaan kesihatannya bertambah baik dan boleh menjalani sesi penggambaran bagi sebuah drama seperti biasa.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, keadaan kesihatan makin baik cuma saya perlu berjumpa semula dengan doktor pada 18 haribulan ini.
Saya dah bersedia untuk berkarya balik, rindu nak ‘shooting’. Terima kasih pada semua yang mendoakan.
Bila dapat balik rumah rasa macam satu nafas baharu yang Allah bagi.
Dalam pada itu, Zamarul atau nama lengkapnya Zamarul Hisham Mohamed menganggap kesakitan dan ujian yang diterima pada ketika itu sebagai teguran daripada Allah SWT.
Ramai yang tanya apa yang saya rasa? Saya rasakan ini adalah teguran.
Tahun ini saya pergi jalani ibadah umrah dan bila balik saya rasakan banyak perubahan berlaku dalam hidup. Sebagai seorang artis, kita tak lari dari buat silap, leka dan lalai. Jadi saya nak jadi lebih baik dari yang sebelum ini.
Kemudian saya pergi umrah buat kali kedua dan bila balik saja, saya rasa macam tak cukup. Setiap kali saya solat, saya minta pada Allah berikan saya hidayah untuk jadikan saya lebih baik sebab umur pun dah masuk 50 tahun.
Alhamdulillah kemudiannya, rezeki datang mencurah-curah dan dari situlah mungkin saya diduga. ‘Kau nak Aku bagi tapi kau (Zamarul) tak rehat sebenarnya ini’.
Memang betul, masa kejadian tekanan darah saya naik sampai 200 lebih dan perkara itu sememangnya tak pernah berlaku kepada saya.
Mahu berubah jadi lebih baik
Foto: Melodi TV3
Bercerita lanjut, pelakon filem ‘Kem 505’ ini mengakui hanya memikirkan soal kematian sewaktu mendapatkan rawatan di hospital.
Ujar Zamarul, dia sentiasa berdoa agar Allah memberikan ruang untuknya berubah lebih baik serta peluang melihat anak-anaknya membesar.
Waktu saya diusung ke hospital di PD saya cakap, ‘Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang sebab banyak yang aku tak sedia lagi’.
Saya dah mula terbayangkan anak di hotel, takkanlah nak tinggalkan mereka di sini sampaikan saya menangis. Tapi saya kena kuat.
Saya berdoa, ‘Ya Allah jika kau berikan sakit ini sebagai tanda untuk aku jadi lebih baik, aku reda tapi berilah aku peluang untuk tengok anak-anak aku membesar’.
Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat bertungkus-lumus jaga saya. Waktu di ICU bila saya tengok wajah dia, ‘Adakah ini kali terakhir aku akan berjumpa dengan isteri aku ini?’
Di akhir temu bual, Zamarul menitipkan pesan buat pelakon lain untuk sentiasa menjaga kesihatan meskipun sibuk dengan jadual penggambaran yang padat.
Pada 5 Februari lalu, Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.
Kemudiannya, Zamarul dipindahkan ke sebuah pusat perubatan si Sunway untuk rawatan lanjut.
Sumber: Melodi TV3