Penyanyi Aina Abdul mengakui merajuk apabila dikecam bertalu-talu oleh netizen yang mengkritik persembahannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: #AJL39: Melinda Looi Habiskan Masa Dua Bulan Siapkan Busana ‘Jantung’, Jumlah Mata & Hidung Tarikh ‘Birthday’ Aina – ‘Saya Guna 15 Teknik’
Artikel Berkaitan: #AJL39: Aina Abdul Cipta Sejarah! Sudah Miliki Semua Trofi, Bagi ‘Hint’ Mahu Berehat Bertanding?
Kualiti persembahan
Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, dia merasakan netizen seperti tidak menghargai kualiti persembahan yang dilakukannya menerusi lagu ‘Puas Sudah’ di acara berprestij itu.
Ada sikit merajuk, tapi tidaklah sampai terlalu kecewa. Saya manusia biasa, jadi bila usaha diberikan sepenuh hati tetapi tetap tidak dihargai, sedikit sebanyak terasa juga.
Netizen kritik saya seolah-olah saya tidak memberikan kualiti pada persembahan AJL tempoh hari.
Saya merasakan macam di AJL itu mereka (netizen) tidak lagi melihat kualiti. Ini bagi saya lah, bukan bercakap bagi pihak orang lain.
Melihat bagaimana netizen melayan saya sebegini, memang kecil hati. Saya cuma ada satu matlamat iaitu mahu berlaku jujur dalam berkarya. Bukan mahu menunjuk atau ‘show off’.
Aina berkata demikian ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Tenang dikecam
Demi menjaga emosi dan kesihatan mental, Aina memberitahu, dia tidak mengambil hati dengan kritikan pedas dilemparkan meskipun mengakui terasa tempiasnya.
Mental saya? Alhamdulillah, masih kuat untuk menghadapi semua ini dengan tenang. Sejujurnya, saya tidak keluar rumah langsung selepas AJL.
Bukan sebab lemah atau takut, tetapi saya rasa lebih baik luangkan masa bersama kucing-kucing di rumah. Itu lebih penting daripada sibuk membaca komen negatif.
Tapi tak boleh lari, benda negatif tetap akan sampai. Walaupun saya cuba elak, pasti ada yang datang melaporkan pada saya. Saya faham, semua orang bebas bercakap apa sahaja.
Fokus kerja
Walau bagaimanapun, pemenang AJL37 itu mahu kekal fokus dengan kerjaya nyanyian dan tidak ingin terlalu larut dalam emosi sedih.
Saya nak terus kekal berpijak di bumi nyata dan fokus pada kerja kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan.
Kalau saya biarkan emosi merajuk terlalu lama, mungkin saya tidak akan kembali. Tapi saya tak boleh macam itu, saya ada pasukan, syarikat produksi dan banyak perancangan yang perlu diuruskan.
Saya di sini untuk terus berkarya. Yang menghargai seni saya, saya buat untuk mereka.
Terdahulu, Aina menjadi sasaran kecaman hebat termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan di AJL39.
Segelintir netizen seolah-olah tidak menghargai bakatnya malah ada yang bersorak gembira ketika dia gagal membawa pulang hadiah utama pada pertandingan malam tersebut.