Anak kepada pelakon Sheila Rusly yang juga pemilik syarikat LXM Resources iaitu Uzair Haqimy Azman telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM808,260 terhadap syarikat milik pempengaruh, Wak Doyok iaitu WD Food Group Sdn Bhd.
Fail tuntutan sebanyak RM808,260
Ketika ditemui OhBulan!, Uzair berkata, syarikat LXM selaku plaintif yang menyediakan logistik telah membuat dua perjanjian perkhidmatan sewa kenderaan dengan WD Food Group (defendan) bagi tempoh 48 bulan yang dipersetujui pada 22 Disember 2023 dab 21 Jun 2024.
Bagaimanapun, Wak Doyok atau nama lengkapnya Mohd Azwan Md Nor iaitu selaku pemegang saham terbesar syarikat terbabit gagal menyelesaikan pembayaran tertunggak bagi kedua-kedua perjanjian berjumlah RM808,260 iaitu termasuk penalti.
Defendan telah membuat beberapa pembayaran berjumlah RM24,930 bagi perjanjian pertama dan kedua. Tetapi gagal dan ingkar untuk membuat pembayaran seterusnya.
Kami telah berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secara baik dengan memberi peluang kepada defendan membuat pembayaran sebelum tindakan guaman difailkan, namun mereka gagal mematuhi tuntutan tersebut. Maka kami terpaksa membawa perkara ini ke peringkat mahkamah.
Ujar suami kepada pelakon Elisya Sandha itu lagi, kali terakhir mereka berhubung dengan pihak syarikat WD Food Group bagi membincangkan mengenai isu tersebut adalah pada September tahun lalu. Namun tidak mendapat kata putus.
Uzair berkata demikian ketika ditemui pada sidang media tuntutan guaman terhadap WD Food yang berlangsung di Setapak, Kuala Lumpur.
Fail saman pada 28 Januari 2025
Sementara itu, menurut peguam yang mewakili LXM Resources iaitu Ismail Mohamed Arifin berkata, pada 23 Disember tahun lalu pihaknya telah menghantar notis tuntutan kepada WD Food.
Disebabkan tiada maklum balas daripada pihak defendan, kami telah mamfailkan pada 28 Januari 2025.
Pada hari ini iaitu 28 Februari adalah tarikh pengurusan kes dan kami dapat maklumat bahawa WD Food Group telah melantik peguam untuk mewakilik mereka.
Susulan daripada itu, Uzair yang juga pengarah drama berharap agar syarikat LXM Resources mendapat keadilan yang sewajarnya.