Foto: KWSP
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 2024 sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional.
Agihan dividen 2024
Foto: KWSP
Memetik laporan KWSP, jumlah agihan bagi Simpanan Shariah adalah sebanyak RM 10.19 bilion manakala RM63.05 billion bagi Simpanan Konvensional.
Menurut Pengerusi KWSP iaitu, Tan Sri Mohd Zuki Ali, keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2024 adalah RM73.23 bilion.
Alhamdulillah, KWSP berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah.
Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.
Difahamkan juga, kedua-dua simpanan konvensional dan syariah mencatatkan dividen lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tahun 2023, KWSP memberikan dividen 5.4 peratus untuk Simpanan Shariah dan 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional. Jumlah agihan keseluruhan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM57.81 bilion.
Untuk info, pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai pada Ahad, 2 Mac 2025.
Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.