Ingatkah anda lagi akan aksi berahi yang ditampilkan dalam filem Lenjan arahan Ismail Yaacob pada tahun 1998? Adegan itu telah dikecam hebat oleh orang ramai yang sekaligus mempertikaikan keperluan babak panas itu untuk ditayangkan dalam filem tersebut.
Menafikan memperguna adegan ranjang sebagai modal untuk menjual filemnya, Ismail Yaacob sekali lagi berani memaparkan babak kontroversi tersebut menerusi filem arahan terbarunya, ‘Laga’ yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam mulai 23 Januari depan.
Di samping membariskan pelakon teraju handalan seperti Wan Hanafi Su, Eman Manan dan Nasir Bilal Khan, pengarah filem yang telah lama menyepi ini turut memberi peluang kepada pendatang baru industri seperti Syazwan Zulkifli dan Marsha Milan Londoh untuk membintangi filem ini.
Filem ini mengisahkan tentang masyarakat kampung yang gemar bermain perjudian laga ayam dan mereka begitu obses dengan perjudian ini sehinggakan masa mereka banyak dihabiskan di gelanggang laga ayam. Bagi mereka, permainan judi laga ayam ini seakan-akan melambangkan maruah diri mereka.
Disebabkan alasan itu, Hassan Laga ( lakonan Wan Hanafi Su) akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gelarannya itu sehingga sanggup mempertaruhkan isterinya iaitu Su ( lakonan Marsha) kepada orang kaya Dasuki ( lakonan Nasir Bilal Khan) dalam salah satu perjudian di gelanggang laga ayam.
Plot cerita dikembangkan lagi apabila salah seorang pengikut Hassan Laga, iaitu Sabri ( lakonan Syazwan) jatuh cinta dengan seorang gadis dari Jakarta, Maya ( lakonan Tyas Mirasih) yang datang ke kampung itu untuk melawat neneknya. Walaubagaimanapun, cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga Maya.
Kemelut terus melanda apabila wang pertaruhan yang dimenangi oleh Sabri telah dirompak ketika Hassan Laga dalam perjalanan berjumpa dengannya. Akibat daripada kejadian itu, Sabri telah menuduh Seman ( lakonan Eman Manan) mengupah orang luar untuk merompak Hassan Laga.
Namun, siapakah sebenarnya menjadi dalang dalam cerita ini yang telah melaga-lagakan pengikut Hassan Laga? Bagaimana pula nasib kisah percintaan terhalang antara Sabri dan Maya?
Seiring dengan perumpamaan ‘filem kita wajah kita’, ‘Laga’ yang diklasifikasi sebagai 18PL ini sebenarnya memaparkan realiti kehidupan sesebuah masyarakat kampung, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara jiran.
Secara umumnya, filem ini tidak menghampakan. Selain memaparkan kisah pergolakan cinta, ianya juga mempunyai jalan penceritaan yang unik dimana telah mengangkat kisah pertarungan laga ayam yang selama ini tidak pernah dibawa ke dalam bentuk filem.
Bagi penulis, adegan ranjang dalam filem ini tidaklah seteruk seperti yang diperkatakan kerana ia hanya dijadikan selingan untuk mencantikkan lagi jalan cerita. Sebaliknya, fokus penulis lebih tertumpu pada babak pertarungan antara Sabri dan Seman dan juga babak perjudian laga ayam itu sendiri.
Bagi mereka yang gemarkan jalan cerita yang berat dan unik, ‘Laga’ adalah filem terbaik buat anda. Di sini, OHBULAN! turut kongsikan trailer filem ini untuk anda semua.