Foto: Utusan Malaysia
Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah kerana mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Artikel Berkaitan: Siti Bainun Didapati Bersalah Dera Bella
Artikel Berkaitan: ‘Saya Hilang Segala-Galanya’ – Kes Bella Buat Hidup Siti Bainun Musnah?
Dipenjara, berkelakuan baik & melakukan khidmat masyarakat
Foto: Harian Metro
Setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah pada akhir kes, Hakim Izralizam Sanusi telah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Siti Bainun.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan.
Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.
Dalam pada itu, hakim turut memerintahkan tertuduh untuk menandatangi bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai hukuman tambahan.
Hakim juga memerintahkan Pengasas Rumah Bonda itu supaya menjalani khidmat masyarakat selepas tamat hukuman penjara. Tertuduh perlu melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan.
Berdasarkan pertuduhan yang pertama dan kedua, tertuduh berusia 31 tahun itu didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi. Dia melakukan kesalahan tersebut antara bulan Februari dan Jun 2021 di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.
Pertuduhan dilaksanakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan hukuman maksimum penjara selama 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sebelum ini, Siti Bainun telah didakwa dan mengaku tidak bersalah serta menghadapi perbicaraan bermula 30 Mac 2022. Pada 24 November tahun yang sama, dia diperintah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Terdahulu, kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.
Sumber: Harian Metro