Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu kehidupannya kini musnah sejak video melibatkan remaja perempuan OKU, Bella tular di media sosial.
Artikel Berkaitan: Peguam Siti Bainun Jawab Punca Tarik Diri – Kami Tidak Berkelapangan Hingga Mac
Artikel Berkaitan: Kes Aniaya Bella, Siti Bainun Diarah Bela Diri Oleh Mahkamah
Sesi bela diri Siti Bainun
Memetik laporan Berita Harian, Bainun memberitahu ketika membacakan pernyataan saksi pada sesi bela diri di Mahkamah Sesyen petang semalam, bahawa dia diugut bunuh, dicemuh serta hilang pendapatan sehingga hari ini, sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.
Tambah pengasas itu lagi, tindakan saksi pendakwaan pertama iaitu Zurianty Sudin menyebarkan video Bella, menjejaskan dan memusnahkan hidupnya. Malah, Bainun turut dilihat menjalani prosiding bela diri terbabit tanpa kehadiran peguam belanya.
Saya dikecam dan diugut bunuh, hampir setiap masa. Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.
Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan. Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini.
Takut keluar rumah
Bukan itu sahaja, susulan ugutan itu, dia takut untuk keluar rumah dan mendapatkan rawatan di hospital. Bagaimanapun, pengasas rumah kebajikan ini menyatakan rasa curiga dengan niat Zurianty yang merupakan rakannya yang bertindak merakam dan menyebarkan video berkenaan kerana dia tidak pernah mengambil berat tentang Bella.
Saya dapatkan rawatan di hospital pun, ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya.
Dia tidak pernah datang atau ambil tahu pun tentang Bella. Dia tidak pernah jaga, mandikan, suap dan tidak pernah bermain pun dengan Bella. Sebab itu, saya hairan bila tiba-tiba Zurianty muncul di rumah saya pada 24 Jun 2021 semasa saya memang terang-terang tidak ada di rumah. Jadi, apabila saya dapat makluman dia yang merakam video Bella dan saya dengar di mahkamah dia juga yang sebarkan kepada pihak lain, saya terkejut.
Sementara itu, Bainun turut mempersoalkan mengapa pegawai penyiasat tidak melihat atau mendengar terlebih dahulu video yang dirakamkan saksi pendakwaan pertama itu sedangkan video tersebut adalah asas utama penyiasatan.
Kedua-dua pegawai penyiasat sendiri tidak mendengar pun dengan betul video yang dirakamkan Zurianty. Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka.
Sumber: Berita Harian