Beberapa hari yang lalu, tularnya beberapa video melibatkan kematian seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi yang maut dilanggar seorang pegawai kanan polis di Ipoh.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Dia Salah Masukkan Dalam Lokap, Jumpa Mak Ayah Saya’ – Kakak Calon SPM Maut Dilanggar
Abang minta orang ramai beri keterangan
Terbaharu, abang kepada mangsa, Zarul Fitri tampil memuat naik hantaran di Instagram (IG) Story meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kematian adiknya itu untuk tampil memberikan keterangan kepada pihak polis.
Saya abang kepada arwah dengan rendah diri ingin meminta bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada di tempat kejadian untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Ipoh untuk memberikan keterangan.
Jika ada sesiapa yang mempunyai bukti seperti rakaman dashcam kereta, boleh DM saya.
Dalam pada itu, Zarul juga mendedahkan bahawa pihak keluarganya tidak pernah meminta sebarang bentuk bantuan kewangan dari orang ramai berhubung kejadian yang menimpa arwah adiknya itu.
Assalamualaikum, saya Zarul Fitri abang kepada Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi, mewakili keluarga kami ingin memaklumkan kepada semua bahawa pihak kami tidak pernah meminta atau menyediakan sebarang saluran dana atau bantuan kewangan berhubung kejadian ini.
Pihak kami ingin memohon jasa baik semua agar tiada pihak yang mengambil kesempatan atas isu ini.
Pihak kami juga dengan rendah diri memohon agar kita semua sama-sama dapat memanjatkan doa dan sedekahkan al-Fatihah kepada arwah. Moga keadilan berpihak kepada arwah.
Sekadar info, adik Zarul yang baru sahaja berusia 17 tahun maut di hadapan sekolah selepas dilanggar oleh suspek yang berusia 44 tahun.
Hasil bedah siasat dibuat pihak polis mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan pada bahagian dada dan abdomennya akibat pelanggaran yang berlaku.
Dalam perkembangan lain, suspek yang merupakan pegawai kanan polis akan didakwa hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh dan akan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan.