Luluh hati kami baca kisah keluarga ini yang dilanda ujian kehilangan tunggak keluarga. Bayangkan saat anak 7 orang masih kecil dan bersekolah, suaminya pergi meninggal dunia. Berat sungguh dugaan untuk menyara anak-anak dalam keadaan begini. Mereka juga terpaksa berpindah ke Kedah kerana tanah yang diduduki kini bukan miliknya.
Suami terkena serangan jantung
Ketika zaman remajanya, Puan Noriah yang berasal dari Kedah ini telah berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di sebuah kilang. Dia akhirnya bertemu jodoh dengan rakan sekerja, Mohd Faisa yang berasal dari Kelantan. Setelah berumah-tangga, keduanya pun berhenti kerja dan pulang ke Kelantan. Di Kelantan, mereka tinggal bersama ibu mertua Noriah. Dari bekerja kilang, suaminya beralih mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai welding.
Walaupun hidup dalam keadaan serba sederhana tetapi pasangan ini sangat bahagia sehinggalah dikurniakan 7 orang cahaya mata. Namun takdir Allah yang telah tertulis di lauhul mahfudz … Noriah dan anak-anak yang berusia antara 17 – 3 tahun ini, akan kehilangan dahan utk berpaut kasih dalam sekelip mata pada 26 Ogos 2018 tepat jam 4.50 petang. Pemergiaan arwah suami tercinta secara tiba-tiba akibat serangan jantung itu benar-benar telah merubah segalanya tentang perjalanan hidup mereka anak beranak.
Suami meninggal dunia depan anak-anak
Memang Noriah sama sekali tidak menduga arwah yang tiba – tiba mengadu sesak nafas itu akan pergi dalam tempoh tidak sampai tiga jam di hadapan dia dan anak-anak. Mengimbau kembali saat yang menyedihkan itu … Noriah berkali-kali memujuk arwah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. “Tak payahlah .. sekejap lagi ok lah ni. Jangan susah hati … penat ni sebab Abang banyak hisap rokok agaknya. Abang janji … lepas ni, Abang tak akan hisap rokok dah!” Noriah dan anak-anak yang berada di sisi silih berganti mengurut dada arwah.
Dalam nada suara yang semakin lemah, arwah mengadu tentang keadaannya yang semakin tidak selesa. “Perut Abang ni sakit …” Tangan Noriah yang sedang mengurut dada arwah dengan minyak angin pun bergerak perlahan menuju ke perut. Disapuya minyak angin di seluruh kawasan perut arwah. Luluh hati tidak terluah dalam kata lagi bila arwah tiba-tiba menyambung lagi bicaranya. “Abang rasa … masa Abang sudah tiba … Abang rasa Abang dah nak mati agaknya ni. Ampunkan semua salah dan silap Abang pada Noriah dan anak-anak yaaa” Bercucuran air matanya mendengar kalimah itu. Nafas arwah kemudiannya semakin perlahan. Sebelum terputusnya nafas terakhir arwah dari jasad arwah sempat memohon ampun dan maaf kepada bonda yang teramat dikasihinya.
Mak takut bila pejam mata
Arwah akhirnya pergi buat selamanya dengan iringan lafaz syahadah yang dipimpin bondanya dihadapan Noriah dan anak-anak. Bagaikan bermimpi, Noriah terpaksa menerima hakikat yang teramat memilukan kerana selama ini, arwah tidak pernah mengidap sebarang penyakit. Malah tidak juga mengambil apa-apa ubat-ubatan pun atas sebarang masalah kesihatan. Setelah selesai tempoh iddah, ibu mertua Noriah pun membuat sebuah keputusan yang sangat berat buatnya demi masa depan cucu-cucu yang dikasihi. Keputusan itu dirasakan ialah jalan terbaik buat Noriah dan anak-anak atas nama kasih sayangnya sebagai seorang ibu.
“Baliklah ke Kedah. Walaupun ayah dan ibumu sudah tiada tetapi di sana ada kampung halamanmu. Di Kelantan ni, mak pun dah tua. Rumah kita ni tanahnya juga milik orang. Mak takut, bila mak pejam mata, kamu dan anak-anak terpaksa berpindah juga akhirnya..”. Maka setelah urusan persekolahan anak-anak selesai, dengan doa dan restu ibu mertua yang dikasihinya mereka anak beranak pun berangkat pulang ke Kedah. Sebelum pulang, mereka dibawa ke pusara arwah dan ketika mengaminkan doa yang dibaca oleh saudara terdekat, air mata mereka anak beranak jatuh berlinangan bersama esak tangis yang benar-benar meruntun hati. Berat sungguh rasa hati Noriah untuk “meninggalkan” suami yang dicintainya di sana. Apatahlagi dia yang kematian ibu dan ayah itu, sudah 18 tahun tinggal di sana.
Berat hati tinggalkan mak mertua
(sekadar gambar hiasan)
Berat juga hatinya meninggalkan ibu mertua yang dikasihi bagai ibu kandung sendiri. Namun dia yakin sebagai seorang ibu, mertuanya juga inginkan yang terbaik untuk dirinya dan anak-anak. Bahkan hakikat sebenarnya ibu tua itu juga sedang dan telah mengorbankan kepentingan diri dan rasa hatinya sendiri. Dia meninggalkan pusara suami tercinta dengan sebuah janji bersaksikan nisan yang kaku … akan datang lagi suatu hari nanti.
Sebuah van yang disewa khas dari Kedah oleh adik-adik sukarelawan kita telah bertolak ke Kelantan dan membawa pulang keluarga ini ke Kedah pada 23 Januari. 24 Januari .. kita telah menziarahi keluarga ini. Menyampaikan sedikit bantuan wang tunai utk membeli barang dapur. Kita juga menyumbang sebuah dapur gas dan kipas angin. Pada hari tersebut ramai yang datang menziarahi keluarga ini. Mereka menyewa sebuah rumah tidak jauh dari kampungnya. Di sana ada sebidang tanah yang yang telah diwariskan kepada Noriah oleh arwah kedua orang tuanya.
Sewa rumah disumbang oleh hamba Allah
(sekadar gambar hiasan)
Di atas tanah itulah, kelak akan didirikan sebuah rumah untuk mereka anak beranak sumbangan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah – LZNK. Alhamdulillah .. sewa rumah keluarga ini telah disumbang oleh seorang Hamba Allah. Namun sehingga hari ini rupanya setakat itu sahaja bantuan yang diterima.
Anak-anak masih tidur di atas toto nipis di rumah yang masih berlantaikan semen semata. Banyak lagi yang diperlukan untuk mereka memulakan hidup baru seadanya.
Maka itu .. Sedekah Jumaat kita hari ini kita niatkan untuk membeli keperluan rumah buat Puan Noriah dan anak-anak. Sekiranya ada lebihan kita akan serahkan dalam bentuk wang tunai agar dapat menampung perbelanjaan mereka sementara menunggu bantuan bulanan dari pihak berwajib diproses.
Jumaat yang barakah, sama-samalah kita panjatkan ucapan salam dan selawat buat Junjungan Besar kita.
Sedekah Jumaat: Ibu tunggal dan 7 anak yatim
Keperluan : Membeli kelengkapan rumah
Sasaran : 5k
Sumbangan : Natipah Abu Maybank 552107617521
Sumber : Natipah Abu