berita

‘Abdul Rahim Patut Tarik Semula Laporan Polis’ – Lim Kit Siang

October 17th, 2019 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Tindakan seorang graduan, Wong Yan Ke mengeluarkan ‘placard’ bertulis ‘Undur VC’ dan ‘Tolak Rasis’ sambil menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ undang padah apabila Universiti Malaya (UM) membuat laporan polis. UM menerusi satu kenyataan media mengecam sekerasnya tindakan yang tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol majlis.

Terbaru, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Abdul Rahim Hashim menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas pelajar terbabit.

Gesa tarik laporan

Menerusi laporan Sinar Harian, Kit Siang berkata Abdul Rahim perlu berhenti menyasarkan pelajar tersebut sebaliknya mengambil langkah bersesuaian untuk menangani isu yang dibangkitkan.

Abdul Rahim patut menarik semula laporan polis yang dibuat pihak universiti dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar yang melakukan protes, sebaliknya beliau sepatutnya mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk menangani isu yang berbangkit.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan kenyataan Persatuan Kakitangan Akademik UM, protes yang dibuat bukanlah disebabkan ucapan atau kehadiran Abdul Rahim di Kongres Maruah Melayu semata-mata. Namun disebabkan adanya isu berbangkit yang lain.

Kegagalan Abdul Rahim untuk mempromosikan toleransi dan perpaduan kaum dalam kalangan warga UM yang berbilang kaum dengan melibatkan diri dalam Kongres Maruah Melayu telah mencemarkan kepimpinannya di universiti berkenaan.

Namun, Kit Siang berpendapat majlis konvokesyen bukanlah tempat yang sesuai untuk menunjukkan protes. Oleh itu, ia perlu ditangani selari dengan semangat tersebut dan bukannya dengan cara keras yang akan memburukkan nama universiti.

Sentuh isu perkauman

Sementara itu, menerusi laporan Free Malaysia Today (FMT), Wong Yang Ke memberitahu bantahan terhadap Abdul Rahim dibuat kerana nama universiti telah digunakan untuk alasan perkauman dan politik. Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Rahim pada majlis itu menyebabkan ahli akademik dan pelajar mempersoalkan kesahihan akademik yang dituntut Abdul Rahim.

Setakat ini, pelajar ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan.

Sumber : Sinar Harian , FMT

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×