Pengacara yang juga anggota 4U2C, Datuk AC Mizal meluahkan rasa hairan serta kecewa terhadap segelintir pihak yang mengecam penganjuran konsert ‘WE 4U2C Live In Concert’ yang bakal menyatukan semula kumpulan legenda itu.

Artikel Berkitan: ‘Jangan Marah-Marah, Ini Konsert 4U2C Yang Terakhir’ – AC Mizal

Pelik kenapa dikecam

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, berkata komen negatif yang dilontarkan netizen bukan sahaja menjejaskan semangat mereka, malah memberi kesan emosi kepada beberapa anggota kumpulan lain sehingga ada yang mengalami tekanan perasaan dan jatuh sakit.

Saya sedih apabila ramai yang mengecam penganjuran konsert kami, saya sedih sebab komen negatif itu akan dibaca oleh keluarga dan anak-anak ahli 4U2C. Ada ahli kami yang sampai depression, ada yang sakit.

Sejak awal sidang media pengumuman konsert, kami dah maklumkan, pengajuran konsert ini tujuannya untuk berhibur. Kami juga mahu generasi sekarang lihat yang kumpulan ini pernah wujud di Malaysia.

AC berkata demikian ketika ditemui di acara Busking Bersama 4U2C di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Tambah AC, mereka tidak pernah meminta semua orang menyukai kumpulan tersebut, tetapi cukup sekadar menghargai usaha mereka mencipta satu lagi kenangan manis bersama peminat.

Apabila dilemparkan komen tidak sepatutnya, ada anak-anak kami bertanya. Saya rasa cukup lah. Kami tidak minta pun orang di luar sana untuk suka kami, tetapi cukup menghargai dan nikmati satu pengalaman yang akan dicipta.

Kepada yang tidak suka tidak mengapa, tetapi jangan sampai kecam melampau. Jujur tanya saya, saya sendiri tidak tahu kenapa kami dikecam.

Nikmati konsert terakhir

Bercerita lanjut, AC berkata, mereka tidak mengharapkan pujian melambung daripada penonton, sebaliknya hanya ingin semua yang hadir menikmati momen indah dalam konsert yang mungkin menjadi penampilan terakhir 4U2C di pentas berskala besar.

Bukan lama pun, hanya 2 jam 30 minit sahaja. Selepas 2 jam 30 minit itu berakhir, maka habis lah, tiada lagi konsert berskala besar 4U2C.

Rata-rata umur ahli kami pun dah 50 tahun ke atas, hanya minta kalian raikan satu lagi sejarah dalam hidup kami. Kami akan berusaha pamerkan persembahan yang tebaik.

Dalam masa sama, AC menyifatkan kecaman yang ditinggalkan di media sosial sebagai satu bentuk buli siber dan menasihati rakan-rakan seangkatan supaya tidak mudah terpengaruh dengan komen negatif.

Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka itu sebenarnya adalah membuli secara alam maya. Buli dalam media sosial sudah menjadi kemegahan segelintir pihak, suka sangat bantai artis.

Saya selalu pesan dengan anggota lain, sentiasa kuatkan mental dan fizikal. Jangan kalah dengan komen negatif. Kekal fokus dengan konsert kami.

Sekadar info, konset ‘WE 4U2C Live In Concert’ bakal berlangsung pada 15 September ini bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya.