Pempengaruh media sosial Acap S, 29 memberitahu dia tidak akan meninggalkan dunia ‘live’ di TikTok meskipun sudah memenangi Muzikal Lawak Superstar 4, semalam.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Acap S Sebak Pemergian Adik Alisa Umairah, Terkilan Tidak Sempat Jumpa – ‘Maafkan Uncle’
Orang kenal dari situ
Menurut Acap S atau nama sebenarnya Mohammad Asraf Jaafar, dia berasa sayang untuk meninggalkan dunia ‘live’ kerana netizen mengenalinya daripada situ.
Secara jujurnya saya sayang dan akan teruskan buat live. Saya buat benda tu bukan baru, dah sembilan tahun dah. Sejak umur saya 21 tahun. Bagi saya buat live dapat kepuasan. Saya bukan pelawak sebaliknya saya seorang penghibur. Lagi satu pendapatan di sana seronok.
Melainkan kalau saya ada job macam sekarang (pertandingan), saya tak buat live.
Disoal sama ada puas hati ataupun tidak selepas berkorban tidak melakukan ‘live’ sepanjang sembilan minggu berada di MLS 4, Acap secara ringkas menjawab ya sangat berbaloi.
Sudah pasti pengorbanan yang saya lakukan rasa berbaloi. Nak buat benda lima minit atas pentas kena fikir hari-hari. Keluarga saya banyak berkorban. Sebagai contoh, saya bagitahu isteri nak tidur seorang sebelum malam kemuncak MLS4. Mujur isteri faham.
OhBulan! sempat bertanya kepada Acap sama ada dia mahu mengekalkan namanya atau menukar nama lain selepas aktif di dalam bidang seni nanti. Ujar Acap, dia selesa dikenali sebagai Acap S dan tidak akan mengubah kepada nama lain.
Anak jati Gerik, Perak ini turut mengakui yang dia selesa ulang alik dari Perak ke Kuala Lumpur. Ini kerana, dia perlu menjaga ibunya.
Saya anak tunggal. Tiada perkara paling membahagiakan selain dapat menjaga ibu. Sejak arwah ayah meninggalkan kami hampir satu dekad lalu, sayalah yang menjaganya. Segala keperluan disiapkan untuk ibu sebelum saya keluar bekerja. Untuk menetap di Kuala Lumpur sepenuhnya saya rasa tidak selagi ibu saya ada.
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat bertanya mengenai harapan Acap selepas memenangi MLS4. Jelas Acap, dia berharap ada tawaran berlakon atau menjadi pengacara selepas ini.