Penyanyi dan Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menitipkan pesanan buat mana-mana individu ternama tidak kiralah selebriti mahupun atlet untuk tidak memberikan sokongan yang sewenang-wenangnya tanpa sebarang usul periksa terhadap mana-mana pihak yang tidak sepatutnya.
Artikel Berkaitan: Fazley Yaakob Perjelas Kolaborasi Bersama Jenama Yang Didakwa Sensitif & Diboikot – ‘Saya Sudah Kaji Sebelum Jadi Duta’
Perlu jaga sensitiviti
Ketika ditemui OhBulan!, Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob berkata, sebagai seorang manusia seseorang itu perlulah menjaga sensitiviti agar tidak mengguriskan hati mana-mana pihak.
Dalam era media sosial ini kita tidak boleh menunjukkan bahawa kita ini menyokong pihak yang tidak sepatutnya.
Tidak kiralah sama ada dalam konteks kita ketik tanda suka ke, kita pakai hashtag ke, atau pakai emoji bendera negara mana-mana sekalipun.
Pada saya sensitiviti itu sangatlah perlu dijaga terutama sekali apabila kita memuat naik sesuatu hantaran di media sosial.
Apabila seseorang itu dikenali ramai dan dia menunjukkan sokongan kepada pihak yang tidak sepatutnya sudah tentu ia akan memberi impak ke dalam industri atau pun branding bagi seseorang individu itu sendiri.
Fazley berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Tepok Bulu 2023: Malaysia vs Indonesia yang diadakan di Suka Sucre, Hotel Maya pada Jumaat.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Asmara Ini’ berpendapat seseorang itu perlu bijak menilai dan mencari fakta yang tepat sebelum memuat naik hantaran di media sosial.
Pada saya begini sebelum mereka membuat keputusan mereka perlu bijak menilai dan mencari fakta yang tepat.
Sebelum mereka menyatakan sokongan ataupun ketidaksokongan, mereka perlu ada pendirian yang khusus dan bukanlah bergantung pada fakta-fakta yang dicipta oleh wargamaya semata-mata.
Selebriti dan juga atlet ini merupakan individu yang dipandang tinggi dan dalam masa yang sama mudah untuk mereka dipandang rendah.
Jadi sebelum buat sesuatu itu, fikirlah sepuluh kali. Kalau rasa dah terpost, tak salah untuk padam dan kalau rasa dah tersalah post masih boleh edit.
Terdahulu, Soon Huat dan pasangan beregu campuran persendirian, Shevin Jemie Lai digugurkan daripada senarai Road To Gold (RTG) selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa RTG.
Sungguhpun telah dinyatakan pengguguran Soon Huat dan pasangan beregunya adalah disebabkan oleh prestasi, namun, masih ada cakap-cakap nakal dalam kalangan netizen yang memetik kontroversinya sebelum ini sebagai sebab namanya tidak lagi tersenarai dalam program RTG.