Di Kelantan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sejak empat tahun lalu. Menerusi laporan Harian Metro, hari Khamis yang lalu merupakan kali terakhir mangsa dipaksa oleh suspek yang berusia 57 tahun untuk melakukan hubungan seks.
Dirogol sejak 12 tahun
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa didatangi suspek di bilik tidurnya sebelum memaksa anaknya melakukan perbuatan terkutuk itu.
Remaja itu menceritakan dia sudah menjadi mangsa rogol ayah kandungnya sejak berusia 12 tahun lagi. Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan koyakan lama yang mungkin disebabkan oleh tusukan objek tumpul.
Berikutan laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, pihak polis telah melakukan tangkapan terhadap suspek pada jam 3 petang semalam di rumahnya. Tambah Amran, satu lagi laporan telah dibuat terhadap suspek oleh isterinya atas kesalahan mendatangkan kecederaan.
Suspek yang juga seorang penganggur mempunyai dua rekod lampau bersabit kesalahan dadah namun ujian saringan yang dibuat mendapati keputusannya negatif. Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan sebaik selesai akan ditahan semula untuk siasatan bersangkut kes sumbang mahram. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376(3) KK yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat.
Sumber: Harian Metro