berita

‘Ada Kesan Patah Lama Di Tulang Lutut, Buku Lali..’ – Suami Isteri Ditahan Disyaki Dera Anak Angkat

February 2nd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Sepasang suami isteri telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki mendera anak angkat mereka yang baru sahaja berusia 14 bulan. Kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar hujung tahun lalu.

Disyaki dera anak angkat

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan daripada Berita Harian, sebelum ini ibu kandung mangsa dipercayai telah menyerahkan mangsa kepada keluarga angkatnya (suspek) sekitar bulan Ogos tahun lepas. Namun segala-galanya terbongkar selepas kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 31 tahun ini dikatakan telah menghantar semula mangsa ke pangkuan ibu kandungnya di Terengganu pada bulan November tahun lalu.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari selepas ibu kandung mangsa melihat tubuh badan anaknya itu terdapat kesan penderaan. Dia kemudian membawa mangsa ke sebuah klinik untuk rawatan lanjut.

Suspek ditahan reman

Sekadar gambar hiasan

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, mangsa seterusnya dirujuk di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Hasil pemeriksaan oleh pakar ortopedik mendapati mangsa mengalami kesan patah lama pada kedua-dua belah tulang lutut dan bahagian buku lali di sebelah kanan. Kesan itu kira-kira dua bulan dan tulang sudah bercantum.

Susulan daripada kejadian itu, pasangan suami isteri ini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin hingga Ahad minggu depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001. Malah, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×