Pelawak dan usahawan, Shuib mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna di TikTok yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan palsu melibatkan pemilikan syarikatnya, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee).
Artikel Berkaitan: Shuib Anggap Tahun 2024 Bukan ‘Luck’ Buat Perniagaan, Jadikan Kes Mahkamah Sebagai Pengajaran – ‘Saya Akan Beri Kerjasama & Tak Akan Lari’
Akan ambil tindakan
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Shahmira Muhamad ini menyifatkan tuduhan pengguna TikTok tersebut telah mengakibatkan syarikatnya mengalami kerugian bernilai jugaan ringgit dan tuduhan tersebut sama sekali tidak berasas.
Saya akan mengambil tindakan (saman) ke atas kenyataan terhadap seorang pengguna TikTok yang dirasakan melampaui batas. Sekiranya ingin bercakap soal pengasas sesebuah produk, kita kena fikir apakah kesan yang berlaku kepada individu itu dan juga jenama.
Jika kesan tidak baik dan boleh mengakibatkan kerugian, perkara itu tidak adil untuk saya dan syarikat memandangkan tuduhan tersebut tidak berasas. Perniagaan saya ini melibatkan pelabur dan urusan perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.
Jika kenyataan dia itu boleh menyebabkan kerugian berjuta kepada kita, saya ambil tindakan kerana bukan hendak memberi pengajaran kepada orang lain, tetapi kepada diri dia sendiri supaya jangan anggap kenyataan di media sosial itu sebagai main-main.
Shuib berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media Bocey Comeback dan Dol’s Podcast yang diadakan di Restoran Saprah, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Jangan buat spekulasi
Dalam pada itu, Shuib juga meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi hanya kerana pengarah syarikat miliknya itu adalah berbangsa Cina.
Saya sudah biasa melalui perkara sebegini di mahkamah dan selalunya mereka yang terlibat akan tertunduk malu dan bercakap dalam keadaaan terketar-ketar.
Saya tidak mahu melakukan perkara sebegini, tetapi sekiranya saya tidak melakukan, mereka akan fikir mereka adalah golongan bijaksana dalam berkata-kata.
Apabila ada individu yang mengeluarkan kenyataan ‘type-C’, pada saya itu tidak patut. Adakah individu itu cuba untuk menggunakan elemen perkauman di sini? Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.
Apa yang ingin saya tegaskan ialah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar. Jadi, hati-hati apabila bercakap kerana apabila melibatkan syarikat, saya perlu mengambil tindakan.
Terdahulu, syarikat Bubblebee milik Shuib didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu pada Khamis.
Shuib dan pengarah bersama Bubblebee Sdn Bhd, Koh Choon Guan mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.