Gara-gara tidak tahan dan tertekan kerana sering dirogol oleh bapa kandung, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun nekad melarikan diri dari rumah yang didiami mereka. Lebih mengejutkan apabila mengetahui mangsa sudah menanggung derita sejak Februari lalu angkara perbuatan tidak berperikemanusiaan bapanya itu.
Rogol setiap minggu
Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, perbuatan jijik itu dipercayai dilakukan pada waktu pagi semasa seluruh anggota keluarga sedang nyenyak tidur. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu bapa mangsa sudah bercerai sejak dia dilahirkan.
Sebelum ini, mangsa tinggal bersama ibunya di Kuala Nerang, Kedah. Namun, pada September 2019, bapa kandungnya (suspek) mendapat hak penjagaan dan membawa mangsa tinggal bersama isteri serta empat anak tirinya di rumahnya.
Bukan sekali tetapi sudah berkali-kali remaja yang juga merupakan anak tunggal ini dikatakan telah menjadi mangsa ‘seks’ si bapa durjana. Malah, disebabkan terlalu takut, mangsa juga pernah meminum cecair lantai pada Jun lalu. Walaupun begitu, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa dirogol secara berterusan setiap minggu kecuali ketika mangsa datang bulan tanpa pengetahuan sesiapa. Suspek dikatakan merogol mangsa pada awal pagi ketika semua ahli keluarga sedang tidur.
Akhirnya terbongkar
Namun, segalanya terbongkar selepas pihak polis menahan mangsa di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kerana tiada permit perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pada ketika itu, mangsa bersendirian mahu pulang ke rumah ibunya yang terletak di Kedah.
Mangsa kemudian telah menceritakan perkara sebenar kepada pihak polis. Susulan daripada itu, pihak polis telah menahan suspek yang juga bekerja sebagai pengusaha perkhidmatan cuci pejabat.
Semakan mendapati suspek mempunyai rekod satu kes rogol sumbang mahram membabitkan adik iparnya pada 2004, manakala ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah.
Oleh hal demikian, suspek yang berusia 42 tahun itu telah direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol secara sumbang mahram.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian