berita

‘Adik Tutup Mata, Mama Pun Tutup Mata, Ini Mungkin Takdir Kita’ – Ibu Junjung Anak Dalam Kotak 4 Jam Ketika Banjir Paras Leher

December 25th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Umpama nyawa di hujung tanduk. Itulah peribahasa yang paling sesuai menggambarkan detik cemas yang dilalui wanita ini bersama bayinya berusia enam bulan apabila mereka terperangkap di dalam rumah akibat banjir yang berlaku di Taman Karak Indah, Pahang.

Selamatkan anak dalam kotak

Menerusi satu temubual bersama program Malaysia Hari Ini, mangsa yang dikenali dengan nama Suriyati Abdul Mokhtar memaklumkan dia hampir lemas berikutan dengan keadaan paras air banjir yang semakin meningkat sehingga mencecah paras leher.

Apa lebih membimbangkannya adalah keselamatan anak perempuannya yang baru berusia enam bulan itu. Jelas Suriyati, pada ketika itu dia terfikir untuk menyelamatkan si anak dengan menggunakan satu kotak yang terdapat di dalam rumahnya.

Air masuk perlahan-lahan melalui lubang pintu dan tingkap. Ya Allah, hati berdegup laju. Saya ambil box tu (kotak simpanan barang). Saya tengok box tu terapung. Lepas tu saya campak benda yang ada dalam box tu dan saya letak anak saya dalam tu dulu.

‘Adik, adik tutup mata’

Difahamkan, mangsa terpaksa menjunjung kotak yang berisi anaknya itu selama empat jam berikutan dengan keadaan air yang semakin deras dan meningkat hingga ke paras leher. Menceritakan kembali detik cemas yang dilalui, sehingga satu tahap dia seakan sudah redha dirinya dan anak ‘ditenggalami’ banjir.

Adik, adik tutup mata. Mama pun tutup mata. Mama rasa ini adalah takdir kita berdua, dah memang tak ada orang yang boleh selamatkan kita. Abah pun tak ada, orang lain pun tak ada.

Saya rasa dia faham situasi dekat situ. Dia peluk saya erat, dia tutup mata. Saya tak tahu anak saya enam bulan boleh buat macam tu.

‘Tolong Ya Allah, air makin tinggi’

Malah Suriyati juga sempat menghantar pesanan suara memohon ampun dan maaf kepada si suami yang pada ketika itu sedang bekerja di Terengganu.

Tolong, tolong ya Allah. Air makin tinggi. Ya Allah, tolong selamatkan anak saya je, yang lain saya tak fikir. Minta ampun bang, ampunkan mama. Takde orang selamatkan mama bang.

Namun siapa sangka, Allah SWT telah ‘menghantar’ dua anggota bomba untuk menyelamatkan dua beranak terbabit seolah-olah mereka diberi peluang kedua untuk bernafas.

Sumber: Malaysia Hari Ini

SKIP THIS AD ×