Penyanyi Adira Suhaimi mengambil pendekatan untuk tidak memberi penjelasan lanjut mengenai status terbaharunya yang kini bergelar ibu tunggal.
Artikel Berkaitan: Adira Suhaimi Tidak Mahu Tuntut Nafkah Atas Kehendak Sendiri – ‘Saya Tak Nak Susahkan Datuk Red, Dia Tengah Down’
Artikel Berkaitan: Adira Suhaimi Bersyukur Doa Di Makkah Makbul – ‘Allah Lembutkan Hati Datuk Red’
Status ibu tunggal
Ketika ditemui OhBulan!, Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 32, berkata dia tiada pilihan lain dan harus menjalani kehidupan seperti biasa biarpun kini membawa gelaran tersebut.
Saya tidak boleh komen fasal itu (status ibu tunggal) lagi. Sebab saya belum laluinya lagi. Apa pun, nak atau tidak kena juga harungi.
Adira berkata demikian sejurus selesai proses lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada Rabu.
Semalam, Adira sah bercerai talak satu dengan bekas suami, Datuk Red selepas lafaz talak dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 pagi.
Abdul Hadi Omar turut mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Sementara itu, Datuk Red ketika prosiding sedang dibacakan kelihatan tunduk sayu manakala Adira hanya kelihatan tenang.
Dalam masa sama, Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah terhadap Datuk Red.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.
Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.