Nama penyanyi terkenal Indonesia, Afgan tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak di awal kemunculannya, bintang berusia 34 tahun ini berjaya memukau pencinta muzik dengan deretan lagu yang dihasilkan.
Tidak hanya mengecap kejayaan luar biasa di negara kelahirannya, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza turut mencipta fenomena di Malaysia. Selain lagu, kualiti vokal dimiliki membuatkan ramai yang kagum dan jatuh cinta.
Artikel Berkaitan: Alami Depresi, Afgan Pulih Selepas Jumpa Psikiatri
Kembali ke rumah kedua
Seiring kematangan usia pembabitannya dalam industri muzik Indonesia yang sudah mencecah 15 tahun, Afgan juga menjadi antara penyanyi yang kerap mengadakan konsert solo termasuk di Malaysia.
Justeru, kejayaan konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu menjadi penanda aras baharu Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya di sini.
Atas sambutan dan permintaan ramai, Afgan bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember 2023 yang dibawakan secara eksklusif oleh penganjur, Renjana Idea.
Afgan yang baru selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, semalam (1 Julai) berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi menghiburkan seluruh peminat.
Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat. Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.
Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya untuk mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu. Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Selain saya juga senang bekerjasama dengan mereka.
Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini,ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra.
Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya it’s amazing! Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti.
Diiringi MPO
Sementara itu, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.
Kali ini kita mahu memberikan kelainan pada konsert Afgan. Tidak seperti dulu yang mana tahun ini persembahan Afgan akan diiringi oleh MPO. Saya pasti deretan lagu popular Afgan itu menjadi lebih hebat dengan iringan pemuzik MPO.
Jadi, kepada semua yang tak dapat nak menyaksikan konsert sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kami menjanjikan persembahan hebat daripada Afgan.
Berbeza dengan konsert sebelum ini, pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya.
Menariknya juga, pada konsert ini turut menghiburkan peminat adalah penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.
Tiket menyaksikan konsert Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) mula dijual pada 5 Julai 2023, jam 10 pagi, di website GoLive Asia.