Personaliti televisyen, Aidid Marcello meluahkan rasa syukur dan gembira apabila anak sulungnya Muhammad Iman Marcello berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 11 bulan.
Artikel Berkaitan: Aidid Marcello Terubat Rindu Dapat Jumpa Nazarudin Rahman – ‘Aku Jerit Nama Dia Terus Peluk’
Artikel Berkaitan: Berhenti Sekolah Kebangsaan & Menengah, Aidid Marcello Nekad Hantar Anak Ke Akademi Agama
Hafaz 30 juzul al-Quran
Menerusi hantaran di Instagram, Aidid berkata, dia menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah paling bermakna untuknya dan isteri, Norzie Pak Wan Chek.
Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Bagi kami ayah dan ibu, tiada apa lagi hadiah yang lebih berharga jika nak dibandingkan dengan apa yang Iman berikan kepada kami. Terima kasih Iman kerana menjadi anak yang taat dan berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang proses hafazan ni.
Semoga Iman terus berjaya dan jadikan al-Quran sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Jangan lupa daddy dan mummy bila kami dah tiada nanti. Ingat, Iman anak sulung lelaki kami. Bacaan Quran dan doa anak yang soleh sahaja yang mampu membantu kami kelak.
Iman berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran selepas mengikuti Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL).
Akademi al-Quran Amalillah
AKMAL terus mengorak langkah dengan sasaran melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah menjelang 2025 menerusi kaedah hafalan al-Quran secara sistematik atau ‘fast-track’ yang diperkenalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, Akademi al-Quran Amalillah mengambil pelajar seawal usia 10 tahun menggunakan kaedah ‘fast track‘ bagi hafazan 30 juzuk al-Quran dengan sasaran hafiz dalam tempoh setahun.
Modul ini dicipta bagi menyelesaikan masalah anak-anak yang mengambil masa terlalu lama menghafaz al-Quran disamping membantu ibu bapa yang mempunyai perancangan melanjutkan pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.
Dengan mengaplikasikan strategi program Speed Tahfiz, modul AKMAL menyajikan pendekatan yang unik dengan mengintegrasikan sistem hafalan, dorongan motivasi harian, kajian pelajar yang berfokus, dan pengurusan psikologi.
Impian AKMAL, ingin melihat, para pelajar menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran di usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah.
Mohd Saifullah berkata demikian di majlis graduasi Akademi al-Quran Amalillah yang berlangsung di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Lahirkan mujahid & mujahidah
Tambah Mohd Saifullah, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.
AKMAL berharap dapat melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bukan sahaja menghafal al-Quran tetapi berjaya Syahadah di mana memiliki kemahiran teknik hafazan berstrategi dalam masa setahun atau kurang.
Bukan itu sahaja, kami juga ingin melihat lebih ramai golongan intelektual mahir dan menghafal al-Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang.
Kita juga mahu menjadi peneraju konsep fast track hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berketrampilan. Kita turut mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.
Mohd Saifullah turut menjelaskan, AKMAL bakal menaik taraf akademi pengajiannya dengan menubuhkan kolej pengajian al-Quran yang menawarkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.
Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 5.0 ini menyaksikan seramai 86 pelajar berjaya Hafiz dan Hafizah 30 juzuk al-Quran manakala 19 orang pelajar berjaya Syahadah al-Quran.
Kita turut bangga salah seorang pelajar yang diraikan pada hari ini iaitu Muhammad Iman anakanda kepada personaliti TV, Aidid Marcello dan isterinya yang juga bekas penyampai berita, Norzie Pak Wan Chek yang berjaya hafaz al-Quran dalam tempoh 11 bulan
Majlis yang dihadiri 2000 tetamu itu turut dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Dato Seri Abdul Hadi Awang dan diserikan dengan kehadiran barisan Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu.
AKMAL yang berpusat di Marang, Terengganu dan telah beroperasi sejak lima tahun lalu memiliki lima cawangan antaranya di Bukit Beruntung, Sepang dan Shah Alam, Selangor serta di Batu Pahat, Johor.