Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui ada membaca komen yang ditinggalkan beberapa pemain industri yang didakwa menyindir dirinya dan beberapa finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Ke Eurovision Asia, Ini 7 Perkara Yang Bakal Jadi Cabaran Terbesarnya

Artikel Berkaitan: Gunung Berapi Jadi Metafora Luka, Aina Abdul Dedah Maksud Di Sebalik Persembahan ‘Kamu’ Di Pentas AJL40

Kekal positif

Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, sebagai sesama anak seni, mereka sepatutnya lebih memahami perjuangan dan cabaran yang dilalui setiap penyanyi dalam usaha membina nama di industri.

Iya benar, saya ada melihat dan sempat membaca komen tersebut. Tetapi bagi saya, kenapa perlu hidup dalam komuniti yang saling membenci. Sepatutnya kita meraikan kerana kita sesama artis.

Kita tahu kesusahan masing-masing. Kita tahu menjadi anak seni ni bukan hari yang indah sahaja. Bukan setiap hari pelangi. Kita tahu kesusahan.

Apabila sindiran itu datang daripada rakan-rakan, saya tertanya mengapa begitu. Mengapa terlalu jadi negatif. Bagaimanapun saya tidak menjuruskan kepada sesiapa. Harap mereka gembira dengan apa mereka lakukan.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat dan sesi bertemu peminat yang berlangsung di Cyberjaya, pada Khamis.

Dalam pada itu, pelantun lagu Kamu itu menegaskan perkara berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya, sebaliknya memilih untuk kekal positif dan meneruskan perjalanan seninya.

Menurut Aina, dia sedar bahawa dirinya tidak mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak, malah kejadian berkenaan mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam menilai siapa yang benar menyokong perjuangannya.

Saya akan teruskan kerja saya dan terus berfikiran positif. Saya tahu apa yang saya buat ini mungkin bukan untuk mereka tetapi untuk peminat saya yang menghargai seni saya.

Bak kata Noh Salleh, seni kami untuk kami. Itulah kehidupan. Kami tidak tahu siapa kawan dan siapa lawan. Saya harap semua yang akan baca kenyataan ini nanti sedikit sebanyak dapat ambil pengajaran.

Terdahulu, netizen mendakwa terdapat beberapa rakan artis meninggalkan komen berbaur sindiran terhadap persembahan Aina menerusi lagu Kamu di pentas AJL40, selain menyentuh persembahan beberapa finalis lain.