Penyanyi dan komposer Aina Abdul mendedahkan dia membelanjakan sebanyak RM400,000 bagi lima persalinan busana mewah untuk konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA 3.0) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Harumkan Nama Malaysia Di Korea Selatan! Satu Pentas Dengan Penyanyi Terbaik Asia-Pasifik
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Hampir ‘Give Up’ Luncurkan ‘Imaji’, Pernah Terasa Hati Dengan Ayat Tok Ram – ‘Kena Ada Album Untuk Buat Konsert’
RM400,000 untuk 5 baju
Ketika ditemui OhBulan, Aina berkata dia sanggup berhabis ratusan ribu ringgit demi kepuasan dan ingin terlihat sempurna sepanjang konsert yang dianjurkan oleh Yayasan PRIHATIN itu berlangsung.
Saya memakai lima baju secara keseluruhannya tidak termasuk busana rona putih yang pernah saya pakai ketika AJL 37 baru-baru ini untuk lagu Terus Hidup.
Jujurnya nilai kesemua busana yang saya gayakan malam ini berjumlah sekitar RM400,000.
Itu adalah kos untuk baju sahaja, tidak termasuk perbelanjaan lain melibatkan konsert
Aina berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui usai konsert ANWAA 3.0 yang berlangsung di Axiata Arena, pada Sabtu.
Sementara itu, turut mencuri perhatian adalah gaun kembang berona biru yang digayakan pada segmen kedua yang mengeluarkan asap di bahagian lengan dan bahu serta bunga bergerak di bahagian hadapan.
Mengulas mengenai busana itu, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata gaun tersebut menggunakan sistem teknologi sains yang dikawal rapi seorang jurutera yang berada di sisi pentas.
Baju biru tersebut sebenarnya rekaan Zaimi Zulkafli yang menggabungkan elemen sains dan teknologi.
Segala yang berlaku seperti keluar asap dan bunga bergerak pada baju itu sebenarnya dicipta khas oleh jurutera, ada individu yang bertanggungjawab mengawal di tepi pentas agar segala pergerakan berlaku seperti dirancang.
Masa latihan baju tersebut gagal berfungsi, mujurlah ketika konsert semuanya berjalan lancar. Syukur dapat realisasikan impian saya memakai busana hebat sebegitu.
Segala elektronik dan coding pada baju tersebut mencecah RM35 ribu. Dalam baju itu sebenarnya ada ratusan wayar untuk menghasilkan segala yang kalian nampak.
Terdahulu, Aina berjaya menghiburkan lebih 10,000 orang peminat yang hadir memenuhi segenap ruang dewan Axiata Arena dalam konsert ANWAA 3.0, malam tadi.
Antara lagu yang disampaikan adalah Terus Hidup, Nada Kalbu, Semalam, Sumpah dan 30 lagu hits yang lain.
Dalam perkembangan lain, Aina mengumumkan satu berita gembira apabila konsert A Night With Aina Abdul bakal dianjurkan di Singapura pada 6 Januari 2024.