Kemeriahan Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung Syawal di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 semakin terasa apabila bakal diserikan dengan kemunculan istimewa beberapa artis popular tanah air.
Artikel Berkaitan: Ben Ali Ajak Fathia Latiff Sertai Absolut Bazaar Bukan Sebab Gimik & ‘Marketing’ – ‘Saya Sokong Semua Artis Berniaga’
Artikel Berkaitan: Festival Ramadan Putrajaya 2024 Himpun 1,000 Peniaga, Target Hampir 1 Juta Pengunjung
Selebriti jadi tarikan utama
Bermula 28 Februari ini hingga malam raya, Anjung Syawal akan dihiburkan artis terkenal seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Amir Masdi, Haziq Rosbi dan Ara Johari yang akan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih.
Turut membuat persembahan adalah artis meningkat naik iaitu Nadeera Zaini, Bella Astilah dan ramai lagi.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, kehadiran ramai artis ini bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk membeli-belah bagi membuat sempena menyambut Aidilfitri nanti.
Menurut Rayme, pembabitan beberapa artis muda yang membuat persembahan pada acara kemuncak Anjung Syawal dianggap pembuka kepada kelangsungan dan kejayaan FRP pada masa akan datang.
Sebagai penganjur, kami mahu memberikan terbaik kepada semua pihak terutama kepada usahawan meniaga di mana kehadiran ramai artis popular diharap menarik ramai pengunjung untuk datang membeli- belah.
Justeru, saya mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesudian semua artis kerana menerima tawaran bagi menjayakan persembahan di Anjung Syawal yang boleh menjadi salah satu platform untuk mendekati peminat mereka.
Anjung Syawal dengan kerjasama anjuran Perbadanan Putrajaya yang merupakan Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang bakal kembali untuk tahun ke-13 bermula 28 Februari ini selama 33 hari.
Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun di negara ini.
Tepis dakwaan sendu
Mengulas lanjut, Rayme menambah, lebih 220 lot niaga daripada jumlah keseluruhan sebanyak 293 lot niaga di Anjung Syawal telah habis terjual sejak 1 Januari lalu.
Rayme yakin baki lagi 70 lot niaga itu dijangka selesai dijual pada awal Februari sekaligus menepis dakwa Bazar Aidilfitri tahun ini tidak meriah seperti kebiasaan.
Menurut Rayme, permintaan tinggi lot niaga itu di luar jangkaan pihaknya kerana kebanyakan lot yang dijual dibeli oleh golongan usahawan dan belum melibatkan agensi kerajaan.
Walaupun terdapat isu yang dimainkan di media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di Bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak lagi gemar membeli secara fizikal namun sambutan di Anjung Syawal di luar jangkaan.
Malah sebelum kami mengumumkan jualan lot niaga dibuka pada 1 Januari lalu, ramai usahawan yang telah menghubungi untuk membuat tempahan lot itu.
Dan sehingga hari ini, lebih 220 lot niaga telah habis dijual dengan bayaran penuh oleh peniaga dengan kadar sewa bermula RM3,500 hingga RM6,000 sepanjang Ramadan ini.
20 lot niaga juga diperuntukan kepada golongan selebriti dan pempengaruh.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Rayme berkata, konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
Pihaknya juga berhasrat menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini, seterusnya berusaha menarik minat semua golongan masyarakat mengenali budaya bangsa terutama generasi muda.
Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar.
Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen ‘Pangkin Seni dan Serambi Santai’ bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirehat.
Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini, khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga.
Untuk maklumat lanjut serta tempahan ruang niaga hubungi di talian +6013 5086807.