Penyanyi Aina Abdul menafikan dakwaan mengatakan dirinya tidak mahu lagi mengambil bahagian dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada masa akan datang.
Artikel Berkaitan: Mental Aina Abdul Kuat, ‘Hadam’ Kecaman Netizen Dengan Tenang – ‘Mereka Kritik Seolah Saya Tidak Beri Persembahan Berkualiti Di AJL’
Artikel Berkaitan: #AJL39: Aina Abdul Cipta Sejarah! Sudah Miliki Semua Trofi, Bagi ‘Hint’ Mahu Berehat Bertanding?
Hantar karya yang layak
Menganggap masih terlalu awal untuk bersara daripada pertandingan itu, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, pada edisi AJL akan datang dia hanya akan menghantar karya yang dirasakan layak untuk dipertaruhkan.
Saya tidak berhenti, masih terlalu awal untuk saya berhenti. Saya baru 31 tahun, berhenti AJL adalah subjektif untuk saya. Selagi saya tidak berasa yakin dengan karya saya, saya tidak akan hantar bertanding.
Itu bermaksud (berhenti bertanding AJL), boleh jadi iya boleh jadi tidak. Saya mahu terus fokus hasilkan karya yang bagus.
Apabila karya itu saya rasa sesuai untuk dipertandingkan saya akan masuk AJL, jika tidak, tidak mengapa. Saya tetap keluarkan lagu untuk peminat-peminat saya.
Aina berkata demikian ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’ di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Lari dari kebiasaan
Dalam pada itu, Aina berkata, dia kini sedang mencari ilham untuk menghasilkan lebih banyak karya selain mementingkan kualiti lagu yang dicipta.
Saya minta maaf jika tahun ini sedikit lewat keluarkan lagu kerana apa yang akan dilancarkan selepas ini, saya ingin peminat bangga dengan saya.
Saya tahu pendengar sekarang sudah bijak dan tahu menilai kualiti sesebuah lagu. Jadi saya akan lebih berhati-hati untuk lancarkan lagu.
Saya sedang mencari ilham dan sedang mengumpul material, kerana kalau boleh ingin lari dari kebiasaan.
Kebiasaan itu mungkin okay untuk saya, tetapi untuk pendengar saya ingin beri kelainan.